ADA berita baik buat penggemar Ejen Ali The Movie! Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) melancarkan siri setem Ejen Ali edisi terhad bagi meraikan kejayaan filem itu yang meraih kutipan RM20 juta hanya dalam masa dua minggu ditayangkan baru-baru ini. Lebih membanggakan, Ejen Ali The Movie adalah filem animasi pertama yang diabadikan pada setem pos edisi istimewa tempatan. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Syed Md Najib Syed Md Noor berkata, pihaknya berazam untuk terus membuka peluang kepada usahawan muda dan berbakat bagi menggalakkan kreativiti dan memberi inspirasi kepada generasi baharu. ARTIKEL BERKAITAN: Ada 4 sebab lebih baik 'private' Instagram anda "Matlamat kami juga adalah untuk menggalakkan peminat dari segenap lapisan masyarakat untuk menjadikan aktiviti mengumpul setem sebagai hobi," katanya. Edisi terhad Ejen Ali The Movie kini boleh didapati di 13 Pejabat Pos Besar seluruh negara. Setem edisi khas akan menampilkan 10 watak utama dari Ejen Ali The Movie yang terdiri daripada Ejen Ali, Ejen Alicia, Ejen Comot, Ejen Bakar, Ejen Rizwan, Ejen Fit, Ejen Bobby, General Rama & Kawan-Kawan, Niki dan Penganas. Siri Setem Ku edisi terhad ini akan dijual pada harga RM35 setiap satu set yang terdiri daripada helaian setem mengandungi 10 keping setem, sampul surat, poskad dan folder yang menampilkan kesemua 10 watak utama dari Ejen Ali The Movie. Siri edisi terhad itu adalah kerjasama di antara Pos Malaysia dengan Primeworks Studio dan WAU Animation. Ejen Ali The Movie adalah sebuah filem animasi Malaysia yang bertemakan fiksyen dan aksi. Filem ini berkisar tentang Ejen Ali yang perlu merungkai satu misteri yang telah mengancam kota futuristik Cyberaya, pada masa sama mempertaruhkan kesetiaannya kepada agensi rahsia Meta Advance Tactical Agency (MATA). Setem edisi terhad itu sudah pun mula dijual bermula 18 Disember lalu di 13 Pejabat Pos Besar di seluruh negara atau boleh didapati menerusi kedai online www.eziemall.com di bawah pautan 'Setem & Koleksi'.