MUHAMMAD Muslim Mat Sulaiman kelihatan begitu tekun membaiki bahagian engkol dan pendakap bawah basikal Cannondale Lefty milik pelanggannya di bengkel yang terletak di halaman rumahnya di Puncak Alam, Selangor. Dia mula membuat kerja membaiki basikal pada awal 2017 selepas menceburi secara aktif sukan berbasikal pada 2015. Muhammad Muslim, 36, yang bekerja sebagai seorang eksekutif pembelian di sebuah syarikat di Petaling Jaya mula melibatkan diri dalam aktiviti berbasikal bukan kerana minat tetapi setelah menghadapi masalah kesihatan. ARTIKEL BERKAITAN: ‘Jatuh cinta’ pada keindahan percikan api, Wan Nadhirah kini gah disapa ‘welder girl’ Setelah disahkan menghidap penyakit darah tinggi, beliau mula mencari jalan untuk memperbaiki tahap kesihatannya. Selepas melihat beberapa rakannya berkayuh basikal bukit, dia tertarik untuk menyertai aktiviti tersebut. Muhammad Muslim minat membaiki basikal. Bermula dengan basikal pertamanya jenama XDS yang dibeli dengan harga RM2,500, Muhammad Muslim semakin bersemangat untuk meneruskan aktiviti berbasikal dan bersyukur kerana tahap kesihatannya semakin baik. Minat baiki basikal Selepas sekian lama berkayuh, timbul pula minatnya untuk membaiki basikal sendiri berikutan masalah kedai basikal yang terletak agak jauh dari rumahnya. "Pada mulanya saya hanya baiki basikal sendiri, tak berani nak baiki basikal orang lain takut rosak," katanya yang tidak mempunyai asas kemahiran sebagai mekanik basikal. Dia terus berusaha mempelajari teknik membaiki basikal melalui media sosial selain dengan rakan-rakan yang lebih berpengalaman membaiki basikal. "Ada antara rakan saya mengikuti kelas membaiki basikal secara formal dengan jenama besar seperti Shimano dan Sram, jadi segala buku, nota dan risalah yang mereka dapat saya buat salinan untuk rujukan. Muhammad Muslim melibatkan diri dengan basikal kerana mengalami masalah kesihatan pada awalnya. "Masa yang diambil untuk mahir menguasai komponen basikal ini boleh dikatakan agak lama kerana setiap pengeluar basikal mempunyai sistem mekanikal yang berbeza... Apa yang penting memahami dan menguasai fungsi peralatan tersebut," katanya yang kini mahir membaiki basikal bukit dan basikal lumba. Muhammad Muslim juga menyarankan kepada penunggang basikal supaya membuat senggaraan setelah tiga atau empat sesi berbasikal secara ekstrem atau berkayuh mengikut trail yang mencabar. Senggara basikal Masalah jarang berlaku ketika berkayuh sekiranya basikal disenggara dengan baik dan penunggang akan berasa lebih seronok dan yakin untuk meneruskan kayuhan. "Saya buka bengkel selepas waktu Isyak sehingga tengah malam dan adakalanya sehingga pukul tiga pagi setiap hari kecuali Khamis kerana saya pergi ke kelas mengaji Al Quran," katanya. Antara masalah basikal yang dikendalikannya berkait dengan mekanikal seperti penukaran gear, brek dan bebola galas. Dia turut menasihati penunggang basikal supaya berkayuh dengan berhati-hati serta memakai peralatan keselamatan seperti topi keledar. "Sokongan daripada rakan-rakan dan orang ramai amat penting bagi saya. Ia juga menguatkan semangat saya untuk mengejar impian memiliki kedai basikal pada suatu hari nanti," katanya kepada Bernama.