suria

Suka sangat 'membawang'... Ia sebenarnya cerminan diri anda sendiri!

TENGAH sedap teman mengunyah kacang sambil melihat gelagat warga kota di sebuah taman reakrasi baru-baru ini, telinga teman terdengar perbualan sekumpulan rakan rancak 'membawang' kehidupan mewah kenalan mereka.

Bukan main galak masing-masing membuat kesimpulan tentang sumber kekayaan rakan mereka itu sambil melihat ke arah telefon yang teman percaya mereka tengah 'skodeng' Instagram kawan mereka tu.

Ini yang teman nak bincangkan dalam Komer Ade!? minggu ni... Gemor bebenor kita buat andaian tentang kehidupan orang lain hanya berdasarkan apa kita lihat di media sosial.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada aku kisah, kan ada tukang kutip troli... Eh dah abad ke berapa ni?

Teman pun kadang-kadang dua kali lima juga, pantang nampak sesuatu yang luar biasa di Facebook atau Instagram, mulalah mulut tu gatal nak bercakap hal orang.

Tengok jer usahawan berjaya macam Datuk Seri Aliff Syukri atau pun Datuk Seri Vida - berbakul-bakul kecaman mereka terima dek kerana menayangkan kemewahan mereka di media sosial.

Sudah menjadi lumrah kita gemar bercakap tentang orang lain. - Gambar Sekadar Hiasan

Jarang-jarang sekali mereka paparkan kepayahan di sebalik apa yang mereka kecapi hari ini. Tapi kita tetap pilih untuk bercakap apa yang dipaparkan kepada kita. Lumrah.

Kenapa agaknya kita gemar betul buat andaian tentang kehidupan orang lain? Apakah kerana cemburu?

Teman tertarik dengan satu kajian bertajuk Depressed Individuals May Fail to Decrease Sadness oleh Universiti British Columbia yang antaranya menyatakan sikap judgemental kita itu sangat berkait rapat dengan diri kita sendiri.

Maksudnya, besar kemungkinan kehidupan kita sendiri tidak seindah mana seperti sunyi, tidak ramai kawan, dompet nipis - dan kita berharap orang lain juga sama seperti kita.

Sikap ini berbahaya kerana ia turut boleh membuatkan kita tak percaya pada diri, suka membanding-bandingkan dengan orang lain yang pada akhirnya membawa kepada masalah seperti kemurungan.

Tetapi di sebalik itu, pernah komer terfikir kehidupan sebenar rakan kita di sebalik media sosial? Boleh jadi mereka sendiri menghadapi pelbagai masalah dan cabaran dalam aktiviti seharian mereka.

Gunakan laman sosial untuk kebaikan bukan mencari kesalahan orang lain.

Kita sendiri pun biasanya mesti nak tunjuk benda baik jer di Instagram, tak gitu? Tapi sebenarnya, broken gila.

Inilah bahaya dan kesan media sosial yang tidak kita sedari - dan bukan semata-mata tentang kita menyibuk hal orang lain secara maya.

Beginilah, apa kata komer cuba tukarkan perasaan tak baik itu sebagai motivasi unuk meningkatkan potensi diri dan capai kejayaan lebih besar daripada rakan kita itu.

Cuba elak prasangka buruk terhadap orang lain kerana percayalah setiap orang itu ada struggle mereka sendiri.

Susah-susah sangat, komer unfriend atau hide jer mereka daripada laman sosial anda daripada pening nak memikirkan pasal mereka.

Artikel Lain