suria

Sedia hadapi sebarang kemungkinan, Covid-19 cetus idea hasilkan 3 inovasi termasuk ventilator untuk 2 pesakit

Prototaip Peranti Perubatan Ventilator Menggunakan Teknologi 3D antara inovasi yang sedang dibangunkan KKM bersama rakan kerjasamanya.

PANDEMIK Covid-19 yang sedang melanda Malaysia dan seluruh dunia masih belum menampakkan tanda-tanda ia bakal beransur pulih dalam masa terdekat ini.

Malah negara seperti Amerika Syarikat, Itali, Iran menunjukkan peningkatan kes mendadak serta jumlah kematian yang cukup membimbangkan.

Ini membuktikan, tanpa kawalan dan langkah pencegahan yang dilaksanakan secara efektif akan menyebabkan wabak itu mudah menular kepada sesiapa sahaja.

ARTIKEL BERKAITAN: JP Morgan ramal Malaysia catat 6,300 kes Covid-19 pertengahan April, KKM sasar kurang 5,000 kes esok!

Di Malaysia sendiri, meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasa bagi membendung penularan Covid-19, namun setiap hari masih terdapat kes baharu dilaporkan, selain tangkapan individu yang ingkar arahan kawalan juga meningkat.

Sebagai persediaan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama beberapa agensi penyelidikan dan khidmat teknikal bergabung bagi menghasilkan inovasi peralatan terbaharu bagi berhadapan dengan sebarang kemungkinan.

Prototaip 'Splitter Kit' Ventilator untuk kegunaan lebih daripada seorang pesakit.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba mengalu-alukan penghasilan idea bagi memperbaiki teknologi sektor perubatan moden menerusi program Kolaborasi Strategik Inovasi Kejuteraan Kesihatan.

Menerusi kolaborasi itu, tiga inovasi telah dihasilkan iaitu prototaip Peranti Perubatan Ventilator Menggunakan Teknologi 3D dan prototaip 'Splitter Kit' Ventilator untuk kegunaan lebih daripada seorang pesakit serta Unit Rawatan Rapi Hibrid di Lapangan (FHyICU).

Menariknya, ventilator berteknologi tinggi 3D Printing Medical itu adalah kolaborasi bersama Bahagian Perkhidmatan Kejuteraan KKM dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Berikut adalah beberapa fakta menarik mengenai prototaip Peranti Perubatan Ventilator Menggunakan Teknologi 3D dan prototaip 'Splitter Kit' Ventilator serta Unit Rawatan Rapi Hibrid di Lapangan (FHyICU).

1. Prototaip ventilator teknologi 3D adalah ventilator kos rendah menggunakan perkakasan minimum dalam menyokong keperluan asas pesakit Covid-19 sekiranya kes di negara ini sampai ke tahap kritikal.

2. Pembangunan prototaip 'splitter kit' pula bertujuan membolehkan sebuah ventilator digunakan oleh dua pesakit bagi menyokong keperluan pernafasan pesakit Covid-19, dengan memastikan tidak berlaku pemindahan jangkitan.

Adham melihat replika inovasi yang dihasilkan di KKM.

3. FHyICU merupakan gabungan pembinaan Unit Rawatan Rapi (ICU) dan wad isolasi secara mudah dipasang serta dibuka, selain boleh dibina di lokasi diperlukan dengan kos yang efektif.

4. Teknologi kolaborasi bersama UEM Edgenta Berhad ini boleh menempatkan 10 katil yang bersaiz dari 20.88 meter x 6.50 meter x 3 meter (ketinggian siling).

5. Berkonsepkan keperluan situasi kecemasan dan ICU hospital medan, ia dilengkapi bilik persalinan, stor linen, stesen jururawat, kawasan pesakit, tandas, bilik dof, bilik mandi, bilik bekalan dan bilik bedah.

Bagaimanapun prototaip itu akan menjalani pengujian bersama Sirim terlebih dahulu bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik bagi membantu pesakit.

Artikel Lain