suria

Peniaga terkejut, pendaki gunung muncul dengan wajah dan tangan berdarah

Mendaki gunung pada waktu malam merupakan hobi kegamaran bagi Hanizaman namun, dia tidak sedar ada perkara pelik telah berlaku ke atasnya.

BAGI mereka yang menjadikan aktiviti mendaki sebagai hobi, meneroka pergunungan pada waktu malam bukanlah perkara yang pelik termasuklah menjalankan riadah itu seorang diri.

Namun, seseorang itu seharusnya mempunyai pengetahuan luas sebelum menjalankan aktiviti berkenaan kerana banyak bahaya yang menanti jika tiada kemahiran untuk menjalankan penerokaan tersebut.

Selain bimbang boleh sesat di dalam hutan, gangguan haiwan buas dan bintang berbisa juga antara perkara yang harus diberi keutamaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Buaya tidak pernah baham penduduk dan nelayan Sungai Kesang kerana satu perjanjian

ARTIKEL BERKAITAN: Nenek tua, lembaga 'jahat hitam' jadi tanda tanya... Klinik desa alami 'episod kejadian aneh' terpaksa ditutup!

Dalam pada itu, hutan juga sering dikaitkan sebagai tempat tinggal makhluk ghaib seperti jin.

Hanizamal Abu Hanifah, pemuda yang selesa diikenali sebagai 'Solo Ambush' mempunyai pelbagai pengalaman sepanjang menjalankan akviviti pendakian pada waktu malam terutamanya berhadapan dengan peristiwa mistik.

Dia berkongsi pengalaman yang tidak boleh dilupakannya kepada mStar ketika 'diusik' oleh makhluk halus sewaktu mendaki sebuah gunung sekitar empat tahun lalu.

Atas sebab tertentu, Hanizamal memutuskan untuk merahsiakan lokasi kejadian kerana enggan pendaki lain berasa takut untuk berkunjung ke gunung tersebut.

Inilah pemandangan hutan di gunung yang didaki oleh Hanizamal sebelum kejadian mistik itu berlaku.

Ketua jurutera yang bertugas di Ho Chi Minh, Vietnam itu mengimbau kembali detik dia menuruni kaki sebuah gunung yang terletak di Selangor sekitar pukul 12 tengah malam.

Memandangkan kakinya mengalami kecederaan ringan, lelaki yang berasal dari Pulau Pinang itu berjalan terhincut-hincut di kawasan hutan yang sunyi sepi dan hanya ditemani bunyi deruan angin dan unggas.

Ketika hampir tiba di keretanya, entah kenapa hati pengasas kumpulan Penjejak Gunung ini terdetik ada sesuatu yang berlaku namun dia sendiri tidak tahu apakah perkara itu.

"Sambil-sambil berjalan, saya dapat gambaran macam ada sesuatu berlaku di kereta.

"Saya pun berjalan selama dua jam menghampiri kawasan parking kereta yang diletakkan di tepi sungai," ceritanya yang ketika itu amat keletihan kerana air minuman sudah berkurangan dan kakinya pula cedera.

Semakin menghampiri kawasan tempat kereta diletakkan Hanizamal menghidu ada bau asap rokok kira-kira 100 meter dari lokasinya berdiri.

Dalam kesamaran cahaya, Hanizamal terlihat ada kelibat manusia berdiri di belakang but keretanya seakan-akan meninjau-ninjau dan memegang sesuatu.

Saya pun hairan dan tanya dia kenapa nampak macam terkejut. Dia kata 'tiada apa-apa bang, nanti abang balik dekat kereta, abang tengok badan abang'

HANIZAMAL ABU HANIFAH

"Saya dah mula bau asap rokok dan nampak macam ada sesuatu di belakang kereta sambil memerhatikan but kereta ke kiri kanan dan ke atas ke bawah... macam dia pegang sesuatu, tapi saya tak nampak pula dia merokok.

"Saya tak syak apa-apa dan rasa seronok sebab akhirnya saya dapat jumpa orang setelah malam sebelumnya saya daki gunung seorang diri," katanya yang gemar mendaki berseorangan kerana ingin mendekatkan diri dengan Tuhan dan mencabar tahap survival sendiri.

Hanizamal pun cuba menyuluh ke arah objek tersebut ketika menghampiri keretanya dan sebaik ingin bertegur sapa, dia terkejut makhluk berkenaan yang berwarna hitam menoleh ke arahnya dan hilang dalam kepulan asap hitam.

Tubuhnya terus terkedu dan bulu-bulu romanya mula meremang di seluruh badan.

Jurutera itu kemudiannya menoleh ke sekeliling kerana khuatir sekiranya makhluk itu belum beredar atau ada 'kawan-kawannya' yang datang menemani.

Tanpa melengahkan masa, bapa kepada tiga anak itu menukar baju yang lebih bersih dan menghidupkan enjin menuju ke Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Tanjung Malim untuk menghilangkan dahaga.

"Ketika saya tiba di R&R itu kira-kira pukul 3 pagi, saya beli air dan orang yang berniaga itu terkejut tengok saya.

"Saya pun hairan dan tanya dia kenapa nampak macam terkejut. Dia kata 'tiada apa-apa bang, nanti abang balik dekat kereta, abang tengok badan abang'," ujarnya yang tidak mengesyaki apa-apa pada awalnya.

Setelah membeli air, Hanizamal berpatah balik ke kereta dan membuka lampu untuk melihat keadaan dirinya.

Hanizamal gemar mendaki secara solo kerana ingin mencabar kemahiran 'survival' dirinya.

Alangkah terkejutnya apabila dia melihat wajah dan tangannya berlumuran darah seolah-olah baru lepas dicakar.

Apa yang menghairankan, Hanizamal mendakwa dia langsung tidak berasa sakit dan pelik bagaimana wajahnya boleh jadi begitu teruk.

Dia kemudiannya membersihkan diri dan tidur beberapa jam di R&R tersebut kerana badan terlalu letih untuk meneruskan perjalanan pulang ke Pulau Pinang.

"Pagi itu, saya bangun dan pergi ke kedai berkenaan semula untuk tanya sama ada muka saya sudah okay ke.

"Adik tu kata saya nampak lebih okay berbanding sebelumnya dan pada mulanya dia ingat saya baru lepas bergaduh," katanya yang masih tertanya-tanya tentang kejadian sebenar yang berlaku pada awal pagi itu.

Hanizamal buntu memikirkan sama ada makhluk yang menunggunya di but kereta tersebut ada kaitan dengan kejadian mukanya yang berdarah itu?

Selepas kejadian itu, dia lebih berhati-hati lagi ketika melakukan aktiviti kegamarannya, mendaki pada waktu malam.

Solo Ambush, Hanizamal, dicakar

Artikel Lain