suria

Nenek tua, lembaga 'jahat hitam' jadi tanda tanya... Klinik desa alami 'episod kejadian aneh' terpaksa ditutup!

Gangguan misteri di sebuah klinik desa di Hulu Selangor dikatakan berlaku sejak 2007. Gambar Facebook

SEJAK beberapa hari lalu, netizen sibuk bercerita tentang sepucuk surat tular yang memaklumkan tentang penutupan sementara sebuah klinik desa di Hulu Selangor, disebabkan 'episod kejadian aneh'.

Penularan surat itu juga menimbulkan tanda tanya dalam kalangan masyarakat yang ingin mengetahui situasi sebenar di klinik tersebut, apatah lagi surat tular itu turut mempunyai lampiran kronologi kejadian misteri di tempat berkenaan.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor ketika dihubungi mStar juga mengesahkan kesahihan surat berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Waze' bawa ke ladang kelapa sawit, kedai makan tiada yang ada hanya 5 pasang mata memerhati dan si tua bongkok

Berdasarkan surat tersebut, sebelum klinik itu ditutup, beberapa kejadian pelik dilaporkan berlaku termasuk kes seorang kanak-kanak menangis ketakutan didakwa ternampak kelibat seorang nenek tua dalam keadaan menakutkan cuba memanggilnya.

Tidak mengendahkan panggilan nenek tua itu, kanak-kanak itu dikatakan meminta ibunya keluar dari klinik tersebut sebelum seorang jururawat bertugas tiba-tiba mengalami histeria.

Pernah juga terjadi seorang kanak-kanak memberitahu ibunya agar menyelamatkan adiknya yang dikatakan sedang diusap oleh nenek tua tersebut.

Surat dan kronologi kejadian yang tersebar di Facebook.

Dakwanya, dia terlihat tiga makhluk aneh mengganggunya termasuk lembaga hitam, nenek tua dan seorang perempuan berambut panjang.

Sekitar Januari lalu, beberapa petugas klinik itu dikatakan menghidu bau wangi seperti serai sebelum tiba-tiba ternampak laluan lurus dengan cahaya merah dan putih berselang-seli sebelum bertindak keluar dari tempat berkenaan.

Disebabkan terpaksa berdepan episod demi episod kejadian aneh dan menyeramkan, pesakit dan petugas berasa takut dan terganggu bagi menjalankan tugas harian apabila diganggu tidak kira masa.

Kejadian mistik sejak 12 tahun lalu!

Rupa-rupanya, kejadian mistik di klinik desa itu bukan perkara baharu apabila pelbagai kejadian pelik dan menyeramkan berlaku sejak 2007 sehingga ada jururawat yang memohon berpindah kerana mendakwa tidak tahan diganggu oleh lembaga hitam.

Malah setiap kali ada petugas baharu di klinik itu, mereka pasti akan diganggu selain tercium bau-bauan pelik sebelum ternampak kelibat mencurigakan.

Itu tidak termasuk kejadian jururawat tiba-tiba menjerit sehingga mata tiba-tiba menjadi merah dan bersuara garau dan meracau perkara yang tidak masuk akal.

Antara kronologi kejadian misteri di klinik desa itu.

Beras kuning, patung hitam

Menerusi surat itu juga, turut diceritakan bagaimana setiap pagi petugas akan ternampak beras berwarna kuning bertaburan di dalam klinik serta tandas.

Paling menakutkan apabila terdapat sebuah patung berwarna hitam di atas bumbung klinik, tidak diketahui dari mana ia datang dan sejak itu pelbagai kejadian pelik berlaku.

Sehinggakan apabila petugas tidak tahan diganggu mereka akan meneruskan perkhidmatan klinik di bawah pokok di luar klinik dan hanya akan masuk ke dalam sekiranya ada yang menemani.

Pelbagai usaha telah dilakukan bagi memulihkan klinik desa namun kebiasaannya ia tidak kekal lama sebelum gangguan aneh kembali menganggu.

Penutupan sementara klinik desa itu juga bagi memulihkan lokasi itu sebelum ia dapat kembali dibuka kepada orang ramai.

klinik desa, gangguan, misteri, jururawat

Artikel Lain