suria

Bunyi loceng rantai kaki dan kelibat nenek muncul 2 pagi... Kerana harta pusaka, dia datang mengganggu

Kelibat makhluk menyeramkan membuatkan Athirah tergamam dan ketakutan. - Gambar Sekadar Hiasan

PELAWAAN rakan baik untuk mengikut pulang ke kampung neneknya disambut gembira oleh Athirah memandangkan sudah lama dia tidak merasai suasana dan keindahan kampung.

Tapi entah kenapa dalam perjalanan ke Perlis, hati Athirah yang pada awalnya teruja tiba-tiba bertukar resah namun dia mendiamkan diri kerana tidak mahu terbawa-bawa dengan perasaannya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pesakit menjerit ada mayat dalam bilik, jururawat terkejut makhluk jelmaan bekas pesakit sejak 11 tahun lalu

Setibanya ke destinasi, Athirah teruja dengan keindahan kampung yang menghijau dan tenang namun perasaan tidak sedap hati kembali menerjah sejurus melihat kawasan rumah nenek Salwa, rakannya itu.

Mana tidaknya, kediaman usang yang diperbuat daripada papan itu terletak betul-betul di hadapan ladang kelapa sawit selain jauh daripada jiran tetangga.

"Rumah jiran memang jauh... kawasannya cukup sunyi, perasaan tenang yang saya harapkan bertukar menjadi seram. Apabila waktu malam, sangat gelap dan sunyi. Lampu jalan pun tidak berfungsi membuatkan suasana agak seram," katanya membuka bicara.



Athirah tidak menyangka kunjungan ke kampung halaman sahabatnya bertukar mimpi ngeri.

Loceng kaki wanita tua pukul 2 pagi

Seperti sedar akan wajahnya yang resah, sebelum tidur, Salwa tiba-tiba membuka cerita mengenai ada segelintir penduduk kampung neneknya yang gemar melakukan perbuatan syirik seperti membela saka dan jin. Malah kata sahabatnya itu, neneknya juga sering menerima gangguan.

Namun, neneknya sudah terbiasa dengan situasi berkenaan dan Salwa memesan agar Athirah tidak berasa takut atau bimbang jika terdengar atau ternampak sesuatu.

"Ketika itu, kalau diikutkan hati memang saya rasa menyesal ikut dia pulang ke kampungnya. Ceritanya itu membuatkan saya tidak boleh tidur," kata Athirah.

Sekitar pukul 2 pagi menurut Athirah, dia terasa hendak buang air kecil dan cuba memberanikan diri ke bilik air yang terletak berhadapan bilik mereka.

Pada awalnya dia hendak kejutkan Salwa namun tidak sampai hati melihat rakannya itu sedang nyenyak tidur.

Dalam kami saling berpelukan, Salwa tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri.

ATHIRAH

"Ketika saya keluar dari bilik air, saya terkejut ternampak seorang wanita tua tiba-tiba muncul menjegilkan mata sambil menarik rambut sendiri. Mulutnya berulang kali menyebut tentang kematian selain mengenai tanah dan harta yang saya tidak fahami," ceritanya.

Tanpa berfikir panjang, Athirah berlari masuk ke bilik dan mengejut sahabatnya yang turut terkejut dengan apa yang berada di hadapan mata mereka.

Belum reda ketakutan, makhluk itu menghilangkan diri sebelum mereka terdengar bunyi loceng rantai kaki serta cakaran pada dinding.

Athirah berkata, dia menggigil mendengar bunyi loceng itu sebelum menjerit sekuat hati apabila makhluk itu memunculkan diri betul-betul di hadapan wajah.

"Dalam kami saling berpelukan kerana takut memandang wajah nenek tua itu, Salwa tiba-tiba muntah darah sebelum tidak sedarkan diri.

"Mujur ada bapa saudaranya yang tinggal bersama nenek di rumah dan dia segera memanggil ustaz untuk datang membantu," katanya.



Makhluk yang menyerupai wanita tua itu menggangu keluarga Salwa akibat dendam.

Dendam nenek saudara

Cerita Athirah lagi, ketika menunggu kedatangan ustaz, makhluk itu bertenggek pada tiang rumah sambil memandang tepat ke arah mereka.

Namun apabila ia melihat ustaz datang ke rumah, ia terus menjerit dan menghilangkan diri sebelum sempat ustaz melakukan apa-apa.

"Sudah beberapa kali ustaz itu datang sebenarnya untuk memulihkan keadaan tetapi tidak berjaya dan mungkin sebab itu juga ia terus melarikan diri. Bagaimanapun mujur ada ustaz bagi melihat keadaan Salwa pengsan," katanya.

Selepas kejadian, Salwa memberitahu, apa dilihat Athirah pada malam kejadian adalah jelmaan nenek saudaranya yang sejak dahulu berdendam dengan mereka sekeluarga kerana berebut harta pusaka.

Meskipun sudah mendapat bahagiannya, namun dia masih tidak berpuas hati dan tetap menggangu nenek dan keluarganya sehingga ke hari ini.

"Mengikut cerita Salwa, nenek saudaranya itu memang gemar memakai gelang kaki dan turut tinggal bersendirian di kampung sama.

"Penduduk kampung tahu akan sikap nenek saudaranya itu yang gemar melakukan perkara khurafat sehinggakan ramai menjauhkan diri daripadanya," kata Salwa.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain