JAM sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam tetapi mata Kamarul masih belum mahu lelap. Dua lagi rakan sebiliknya pula sedang khusyuk menelaah pelajaran memandangkan ujian sudah dekat. Hendak menelaah pelajaran, Kamarul rasa malas. Dipandang ke sudut katil, menggunung baju kotor di dalam bakul dan alang-alang tidak boleh tidur, Kamarul mengambil keputusan untuk mencuci pakaian dan menjemur malam itu juga. ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda rasa ‘ada benda ikut’ selepas Tonton filem KKN di Desa Penari... 2 kelibat wanita berkebaya ganggu tidur, nak lari kena tindih pula! Melihat gelagatnya yang sedang mengasingkan pakaian kotor, Farid bertanya sama ada dia benar-benar hendak meneruskan niatnya itu. "Ikutkan hati memang rasa takut juga nak mencuci pakaian pada waktu tengah malam apatah lagi tempat jemur baju terletak di hujung blok... seram juga. "Tetapi memandangkan Farid janji nak teman selepas selesai mencuci nanti, saya teruskan juga niat basuh baju malam itu," katanya. Kamarul tak menyangka tindakan menyidai baju pada waktu tengah malam memberi pengalaman buruk kepadanya. Tanpa melengah-lengahkan masa, Kamarul pergi ke bilik air yang terletak di hujung bangunan kolej. Keadaan agak sepi memandangkan tiada orang lain di dalam bilik air. Bersungguh-sungguh Kamarul membasuh kesemua pakaiannya sehinggakan dia terlupa dengan keadaan sekelilingnya. Namun tidak semena-mena tumpuannya terganggu apabila terdengar suara seseorang sedang berdeham kecil seakan-akan suara teman sebiliknya, Farid. Apabila dia cuba memanggil, tiada sahutan daripada Farid dan tanpa berfikir panjang dia meneruskan kerja-kerja mencuci sehingga selesai. "Daripada memikirkan rasa takut, saya lebih fokus kepada rasa nak patah pinggang sebab lama sangat mencangkung dan menyental kesemua pakaian. "Langsung saya tidak berfikir panjang tentang Farid yang saya panggil tetapi tidak menyahut," ceritanya. Jam ketika itu sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi dan tanpa berlengah, Kamarul terus menuju ke ruang ampaian sebelum dia terkejut apabila Farid tiba-tiba muncul daripada sebalik ampaian membelakanginya. Melalui ekor mata terasa seperti ada seseorang berdiri di tepi pintu pantri, apabila saya toleh tiada sesiapa di situ. KAMARUL Kamarul yang sedikit terkejut bertanya kepada rakannya itu bagaimana dia tiba-tiba muncul di situ namun pertanyaannya tidak berjawab dan Farid hanya memandang ke kawasan padang di hadapan ampaian. Penat Kamarul membebel ketika menyidai baju tetapi Farid langsung tidak memberi sebarang respons namun dia tetap berfikiran positif meskipun terdetik di hatinya ia bukan rakannya. "Saya tetap tak fikir apa-apa dan menganggap mungkin Farid mengantuk dan malas hendak layan bebelan saya. Paling penting tak la rasa takut sangat sebab ada kawan teman. "Tetapi apabila saya ajak Farid balik ke bilik, barulah dia bersuara dan minta saya pulang terlebih dahulu," ujarnya. Kamarul bingung kerana Farid bukan sahaja tidak mahu pulang ke bilik tetapi rakannya itu tetap dalam posisi sama dan tidak menoleh ke arahnya. "Saya mula rasa meremang apabila Farid hanya 'membatu' di situ dan tiba-tiba keadaan saya rasakan macam terlalu sunyi seperti tiada sesiapa di situ. Laluan di koridor yang gelap dan sunyi menambah ketakutan Kamarul. "Biasanya Farid tidak begini dan dialah orang paling kecoh di kolej kami," imbaunya. Enggan berfikir panjang, Kamarul tinggalkan Farid bersendirian di kawasan ampaian dan pulang ke biliknya. Ketika melalui kawasan pantri, Kamarul terasa seperti ada seseorang di dalam bilik itu dan sedang memerhatikannya. "Terasa melalui ekor mata saya seperti ada seseorang berdiri di tepi pintu pantri, apabila saya toleh tiada sesiapa di situ. Laju langkah saya sambil memeluk baldi balik ke bilik," katanya. Sampai sahaja di bilik, keadaan gelap dan apabila lampu dinyalakan, Kamarul secara tidak sengaja terlepas baldi yang dipeluknya selepas melihat Farid sedang nyenyak tidur. Kamarul segera membangunkan Farid, bertanya bagaimana dia boleh sampai ke bilik terlebih dahulu namun jawapan rakannya itu membuatkan Kamarul terdiam. "Saya terfikir, kalau betul itu Farid, macam mana dia boleh sampai ke bilik sebelum saya? Padahal tiada laluan lain menuju ke bilik kami. "Bulu roma saya terus tegak berdiri dan terus saya terfikir siapakah yang menemaninya di ampaian tadi? Sejak itu saya memang serik nak basuh baju pada waktu tengah malam," ujarnya. Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI