suria

Akibat tak mahu bersalaman dengan bukan mahram, wanita ini disihir tauke kedai makan!

Sihir dihantar kerana dendam 'cinta' ditolak.

GARA-GARA menolak jabat tangan yang dihulurkan, lebih 11 tahun Kak Melah menderita akibat disihir seorang pemilik sebuah kedai makan di Langkawi, Kedah.

Mengimbas kembali peristiwa yang meragut usia muda wanita terbabit, Awang mengakui dia sama sekali tidak menyangka kakak sepupunya itu akan diduga hingga keadaan fizikalnya tak ubah seperti 'mayat bernyawa'.

Iyalah, baginya Kak Melah bukanlah gadis jelita bak bidadari yang sentiasa menjadi idaman para lelaki tetapi hanya seorang wanita yang kecil molek dan berkulit kuning langsat.

Namun dia tidak menafikan bahawa sepupunya itu seorang yang manis rupawan dan berperwatakan menarik serta ramah.

“Mungkin disebabkan keramahannya itu ia membuatkan lelaki tertarik serta selesa berdampingan dengannya.

“Kak Melah juga seorang yang ceria dan periang. Tak pernah nampak dia bermasam muka atau marah... jadi tak hairan apabila dia sangat disenangi rakan-rakan termasuk tauke kedai makan yang didakwa menyihirnya,” ujar Awang memulakan bicara.

Menurutnya, Kak Melah sering ke kedai makan tersebut kerana berada dekat dengan tempat kerja tambahan pula setiap menu yang dihidangkan tersangatlah sedap dan menepati selera walaupun kedai itu baru beberapa bulan memulakan operasi.

“Boleh dikatakan setiap hari dia akan makan di kedai Abang Leman sehingga akhirnya mereka bertegur-sapa. Kalau tak sempat, dia akan minta tolong rakan untuk membungkus makanan di situ. Harganya pun murah.

“Apa yang saya tahu, selepas beberapa kali kedua-dua mereka berborak kosong, tiba-tiba suatu hari Abang Leman menghulur tangan untuk berjabat dengan Kak Melah.

“Pada masa tu wajah Kak Melah terus berubah dan kelihatan pucat. Mungkin dia terkejut dengan tindakan Abang Leman yang ingin bersalaman. Disebabkan itu, Kak Melah terus bangun dari tempat duduknya dan beredar.

“Malah, dia langsung tidak menjejakkan kaki ke kedai makan berkenaan selepas kejadian pelik tersebut,” ujarnya yang ketika itu tinggal bersama pakcik saudara iaitu ayah kepada Kak Melah yang dipanggil Pak Chaq.

Kira-kira dua bulan selepas peristiwa itu, kesihatan kakak sepupunya itu semakin merosot seolah-olah terkena demam kepialu.

Badannya semakin kurus manakala kulit pula kelihatan pucat.

Kak Melah juga sering demam pada waktu malam dan apabila berada di tempat kerja, badannya akan berpeluh kehangatan tetapi dia akan kesejukan apabila berada di kawasan terbuka.

“Kami semua tidak menyangka sama sekali bahawa ia adalah tanda-tanda dia disihir kerana fikirkan hanya demam biasa. Tapi semakin hari Kak Melah menjadi lemah sehingga tidak berupaya menyuap nasi ke mulut sendiri.

“Situasi begitu berlarutan beberapa bulan sehinggalah tiba-tiba Kak Melah dirasuk dan histeria... masa tu semua orang sedang bersiap sedia nak solat maghrib.

“Kak Melah berteriak dan terpekik terlolong macam nampak hantu. Dia juga cuba melarikan diri tapi sempat ditahan adiknya, Rosli.

“Tanpa berlengah, Pak Chaq memanggil imam yang tinggal berhampiran rumahnya dan selepas direnjis air Yasin, Kak Melah kembali tenang namun dia tidak pulih seperti sedia kala,” ujar Awang.

Selang beberapa bulan kemudian, Kak Melah kembali meracau dan kali ini semakin ganas.

Bayangkan badannya yang kurus kering boleh menepis lima orang lelaki yang memegangnya semasa tok imam cuba berubat.

Setahun berlalu, keadaan Kak Melah masih juga seperti itu, Pak Chaq pun semakin buntu.

Mana tidaknya, Kak Melah satu-satunya anak perempuan yang dimiliki dan tiba-tiba terkena sihir pula diusia yang baru menjangkau 18 tahun.

Ekoran itu, Kak Melah dibawa ke rumah neneknya di Kuala Perlis, Perlis.

“Pada masa tu hujan lebat. Pak Chaq terus saja mengendong Kak Melah untuk turun dari bot apabila sampai di jeti Kuala Perlis bagi bertemu Tok (nenek).

“Setibanya di rumah Tok, dia yang kelihatan lemah terus menjadi kuat sehingga perlu diikat. Tok cuba memulihkan semangat Kak Melah.

“Sepanjang berada di rumah Tok, Kak Melah langsung tidak melelapkan matanya. Badan dia hanya tinggal tulang dan kulit semata-mata.

“Kadang-kadang dia okay dan boleh bergurau senda bersama saudara mara yang lain, kadang kala diam membisu. Kak Melah juga akan duduk diam di satu-satu kawasan apabila dia merasakan tempat berkenaan kotor.

"Sebelum tidur, tilamnya mesti dibersihkan terlebih dahulu dan perlu ada langsir beropol dua tingkat. Mujur dia tidak meminta warna kuning sahaja,” luahnya.

Apa yang pelik, Kak Melah akan menjadi kaku apabila tiba waktu senja.

Dia tidak dapat berjalan dan perlu diangkat ke katil untuk tidur.

"Kami semua memang rasa sedih melihat keadaan Kak Melah seperti itu... berbeza dengan sifatnya yang ceria dan periang. Kalau diikutkan hati, ingin rasanya pukul si pelaku tapi apakan daya, kedai makannya pun sudah lama tutup,” imbasnya yang pernah ke Langkawi untuk mencari Abang Leman.

Selepas hampir 10 tahun berlalu, Kak Melah kembali pulih hasil bantuan perubatan daripada seorang ustaz di Guar Cempedak, Kedah.

Dia sudah boleh menguruskan diri sendiri dan tubuh yang dahulunya tinggal tulang kembali berisi.

Pun begitu, dia masih lagi diam seribu bahasa dan hanya melemparkan senyuman tawar apabila ditegur.

Menurut Awang, Kak Melah kembali pulih seperti sedia kala ketika umurnya menginjak 30 tahun.

Itupun selepas dia sendiri mencari penawar.

“Kak Melah menaiki bas seorang diri ke Johor bagi berjumpa dengan seorang pengamal perubatan tradisional. Ustaz terbabit mengubati Kak Melah sepenuhnya namun disebabkan apa yang pernah dialami, ‘hijab’ Kak Melah terbuka yang membuatkan dia dapat melihat benda ghaib.

“Sehingga kini Kak Melah tidak mendirikan rumah tangga walaupun dirinya pernah didekati beberapa orang. Mana tidaknya, dia dapat merasakan lelaki yang ingin mengahwininya itu hanya mahu mengambil kesempatan semata-mata,” ujar Awang.

Sebelum mengakhiri ceritanya itu, Awang menyampaikan pesanan daripada Kak Melah.

“Dia pesan supaya kita sentiasa berhati-hati walaupun dengan rakan karib dan seboleh mungkin menjaga pemakanan... maksudnya elakkan daripada meminta tolong kawan membeli makanan atau terus makan apa sahaja yang diberikan rakan.

“Jika makan di kedai pula, bacalah doa-doa atau ayat pelindung yang diajarkan ustaz supaya terhalang daripada makan di kedai yang menggunakan pelaris,” ceritanya.

Tambah Awang, kakak sepupunya juga menasihati anak gadis di luar sana supaya sentiasa menjaga maruah dan tidak mudah bergurau senda dengan orang yang baharu dikenali kerana dikhuatiri individu tersebut mempunyai niat jahat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain