suria

Pemuda sesat selepas bunuh ular, tamak cantas semua daun palas dalam hutan... ditemukan lemah selepas imam laung azan

Hakim tidak menceritakan kisahnya yang membunuh ular hitam selepas mencantas daun palas di hutan.

SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, tradisi keluarga Hakim setiap kali raya adalah membakar lemang.

Boleh dikatakan, lemang adalah menu wajib bagi keluarga Hakim lebih-lebih lagi arwah bapanya sebelum ini dikenali sebagai pembuat lemang paling sedap di kampung mereka yang terletak di Maran, Pahang.

Memandangkan tahun tersebut kesemua enam adik beradiknya dapat berkumpul bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri, semestinya sambutan lebaran keluarga mereka bertambah meriah.

Hakim berkira-kira mahu membakar lemang dalam kuantiti yang agak banyak kerana mahu adik beradiknya membawa pulang ke ibu kota sebagai bekalan.

"Mak, Hakim nak cari buluh lemang petang esok. Beberapa hari lagi dah nak raya. Adik-adik semua akan balik raya di sini nanti... nak buat lebihlah sikit, boleh diaorang bawa balik ke Kuala Lumpur tu nanti.

"Hakim kan abang long, seronok rasanya tahun ni semua dapat cuti dan berkumpul. Mesti meriah kan mak," kata pemuda berusia 32 tahun itu kepada ibunya, Mak Lijah.

Sejak ayahnya meninggal dunia tujuh tahun lalu, Hakim mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi menjaga ibunya dan mengusahakan ladang kelapa sawit peninggalan arwah.

buluh 1

Lokasi pokok buluh di ceruk kampung ini memang biasa dikunjungi Hakim. Gambar hiasan

Keesokan harinya sekitar pukul 3 petang, Hakim menunggang motosikal menuju hujung kampung untuk mencari buluh lemang di hutan.

Disebabkan sudah biasa dengan persekitaran dan ceruk kampung, Hakim hanya pergi mencari buluh seorang diri.

Sampai di pinggir hutan yang terletak di ceruk kampung, Hakim memarkir motosikalnya dan terus menyusuri belukar separas bahu orang dewasa.

Akhirnya, dia tiba di 'port' biasa pokok buluh liar yang tumbuh merimbun.

Sekitar dua jam mencantas dan memotong batang buluh dalam ukuran yang sesuai, Hakim mengikat kesemuanya untuk memudahkannya membawa keluar hutan.

"Fuhhh, tak sabar rasanya nak buat lemang esok. Kalau arwah ayah ada, mesti dia seronok," bisik hati Hakim ketika dia melepaskan lelah selepas selesai mengikat batang buluh.

ARTIKEL BERKAITAN: Hantar karung kuning sampai 5 beranak jatuh sakit, penyihir munculkan diri mohon maaf! Maut dilanggar sebulan kemudian

ARTIKEL BERKAITAN: Pak guard bertugas ganti rakan hairan blok sekolah, asrama meriah tengah malam! Cabut lari selepas dapat tahu pelajar sedang cuti

Ketika mahu mengangkat batang-batang buluh itu, tiba-tiba melintas seekor ular hitam sebesar saiz ibu jari kaki di celah daun berhampiran kakinya.

Hakim dengan pantas menghayun parangnya kerana terlalu terkejut dan mahu mempertahankan diri daripada dipatuk reptilia berkenaan.

"Kau yang cari pasal... aku terpaksa bunuh kau," kata Hakim.

Ketika berjalan keluar hutan menuju ke motosikalnya, tiba-tiba dia ternampak pokok daun palas yang tumbuh merimbun dan sedang elok pucuknya untuk dijadikan pembalut ketupat.

"Tak pernah pula aku nampak ada pokok palas selama datang ke sini. Mungkin tak perasan kot. Alang-alang tu, baik aku ambil semua sebelum orang lain yang ambil. Diaorang pun selalu masuk hutan.

3

Beginilah ular hitam yang dibunuh Hakim. Gambar hiasan

"Bolehlah mak buat ketupat juga nanti," Hakim berkata perlahan sambil parangnya mencantas daun palas.

Selepas selesai, Hakim pun mengangkat hasil hutannya menuju ke pinggir.

"Ehh kenapa macam lalu tempat yang sama. Tadi rasanya aku dah lalu tepi pokok tumbang ni," ujarnya pelik.

Hakim tercongok berdiri di tengah-tengah kawasan lapang sambil mengingati laluan asalnya.

"Aku bukannya tak biasa masuk kawasan ni. Tapi kenapa kali ni aku rasa macam lain... semuanya nampak asing!" Hakim bertanya kepada dirinya sendiri.

Penat berulang alik sambil menggalas buluh dan daun palas, ditambah pula dengan berpuasa, Hakim akhirnya terduduk di banir pokok yang tumbang.

Lebih malang, bateri telefonnya pula mati.

"Ya Allah... jika benar aku sedang diuji, aku mohon tunjukkan aku jalan keluar Ya Allah," luah Hakim.

Daun palas? Tak ada pun dekat ikatan buluh lemang yang orang kampung jumpa dengan kamu. Diorang tolong bawa buluh tu saja.

MAK LIJAH

Sementara itu, Mak Lijah di rumah seperti kucing kehilangan anak apabila Hakim masih belum pulang biarpun sudah hampir masuk waktu berbuka puasa.

Mahunya wanita berusia 62 tahun itu tidak bimbang, telefon bimbit Hakim juga gagal dihubungi.

"Assalamualaikum Imam Jalal, saya nak minta tolong. Hakim masih belum pulang lepas dia keluar cari buluh lemang dekat hutan hujung kampung lepas Zohor tadi. Minta tolong sangat Imam ajak orang kampung cari dia," ujar Mak Lijah sambil menangis.

Selepas berbuka puasa dan solat maghrib, Imam Bilal dan sekumpulan penduduk kampung pergi ke hujung kampung mencari Hakim.

"Eh, ini motor Hakim. Maksudnya, dia masih ada di dalam. Mesti tersesat ataupun dia cedera kot," kata seorang penduduk kampung.

Selepas melaungkan azan, Imam Jalal dan penduduk kampung memasuki hutan sambil ditemani cahaya lampu suluh.

Tiba-tiba di kawasan pokok tumbang, Imam Jalal memberi isyarat untuk semuanya berhenti.

"Allahuakbar, Allahuakbar!" Sekali lagi Imam Jalal melaungkan azan.

"Imam, itu Hakim! Ya Allah, lemah betul keadaannya," kata mereka.

Dengan bantuan penduduk kampung, Hakim berjaya dibawa keluar dari hutan dan terus dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

hutan

Hakim ditemui dalam keadaan lemah tidak bermaya selepas lima jam tersesat di hutan. Gambar hiasan

Dia ditahan selama dua hari kerana keadaannya terlalu lemah dan memerlukan pemantauan doktor.

Akhirnya, Hakim dibenarkan keluar hospital sehari sebelum raya.

"Along minta maaf tak dapat buat lemang untuk korang semua raya ni," kata Hakim kepada adik-adiknya yang pulang ke kampung selepas mendapat khabar mengenainya.

"Tak apalah Along... yang penting Along selamat, itu lagi buatkan kami gembira," kata Mira, adik keduanya sambil yang lain turut mengangguk.

"Mak, Along minta maaf buatkan mak risau. Apa yang terjadi sepanjang kehilangan Along, mungkin ada hikmahnya. Mungkin Allah nak tegur Along supaya jangan tamak. Sebab Along ambil semua daun palas yang Along jumpa masa nak keluar hutan," kata Hakim.

Wajah Mak Lijah pelik selepas mendengar cerita Hakim.

"Daun palas? Tak ada pun dekat ikatan buluh lemang yang orang kampung jumpa dengan kamu. Diorang tolong bawa buluh tu saja," kata Mak Lijah.

Kedua-duanya hanya memandang antara satu sama lain penuh kehairanan.

"Imam Jalal kata, mungkin kamu ada buat sesuatu hingga ada yang marah. Sebab itu 'dia' bagi kamu sesat. Tak apalah Hakim, tak payah dah masuk hutan. Mak tak izinkan... risau tahu tak!" kata Mak Lijah lagi.

Mendengar kata-kata ibunya, Hakim terus teringat mengenai ular hitam yang dibunuhnya tanpa sengaja namun dia tidak menceritakan perkara tersebut kepada wanita itu.

Cukuplah apa yang dilalui memberinya pengajaran berharga yang takkan dilupakan seumur hidup.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain