KEHIDUPAN Taufik bersama Sarah dan tiga anak mereka bukanlah susah seperti kais pagi makan pagi, kais petang makan petang meskipun dia hanyalah peniaga pasar malam. Tetapi sikap Taufik yang gemar mengutip barang terbuang membuatkan keluarganya dianggap daif oleh jiran tetangga. Malah disebabkan itu, ada yang bertindak mendermakan barang terpakai seperti perabot dan pakaian kepada mereka. Jika tidak berniaga, dia akan berjalan mengelilingi kampung pada sebelah petang dengan harapan menemukan 'barang berharga' yang boleh dibawa pulang terutama sekali mainan untuk kanak-kanak. Tambahan pula, anak bongsunya baru berusia satu tahun dua bulan. Gangguan di rumah Taufik bermula selepas dia membawa pulang basikal kecil yang dikutip di tong sampah besar. -Gambar hiasan Perangai peliknya itu pernah menjadi punca pergaduhan antara dia dan isteri. Bagaimanapun, sikapnya tidak berubah sehingga akhirnya Sarah enggan mengambil peduli tentang suaminya walaupun kadang kala malu dengan kata-kata jiran tetangga. "Barang yang aku ambil tu dah dibuang... bukannya aku mencuri. "Lagipun dari kawasan tong sampah besar dan bukannya dalam rumah orang," bentaknya setiap kali diminta berhenti mengutip barang terbuang. Taufiq juga menegaskan setiap barang yang dikutip itu masih dalam keadaan baik dan hanya mengalami sedikit kerosakan yang boleh dibaiki. ARTIKEL BERKAITAN: Duit dalam laci hilang, kacang hijau bersepah tiba-tiba tersusun... Suami isteri syak angkara toyol! - “Mungkin saya gugur pun ada kaitan” "Barang tu semua masih elok lagi, selepas aku betulkan dan cat semula mesti boleh digunakan. "Orang buang sebab mereka tak reti nak modify balik. Tengok ni, cuma rosak motherboard sahaja... kalau ganti baharu atau tukar bahagian yang rosak tu mesti boleh guna balik," luahnya sambil menunjukkan kipas kecil yang baru dikutip. Boleh dikatakan setiap hujung minggu pasti Taufiq akan membawa balik pelbagai jenis barang yang dijumpai dari kawasan tong sampah besar di hujung kampung. Namun sejak dia membawa balik sebuah basikal kecil dua minggu lepas, si bongsu sering kelihatan letih dan kerap menyendiri. "Abang, perasan tak... sejak ada basikal kecil ni, Alia sering bangun pukul 3 pagi untuk bermain. Dia akan berhenti main apabila azan subuh kedengaran dari surau belakang tu. Basikal kecil yang dibawa pulang Taufik. -Gambar hiasan "Kalau waktu siang, dia asyik tidur dan keletihan seperti orang yang lakukan kerja berat. "Perangai dia memang berubah sangat, dah tak aktif seperti selalu. Dengan saya pun dia dah kurang bercakap," ujar Sarah yang menyedari perubahan sikap anak ketiganya itu. Taufik hanya bersikap acuh tak acuh sahaja semasa mendengar ngomelan isterinya kerana menganggap ia hanya alasan Sarah supaya dia tidak lagi mengutip barang terbuang. Dia yang sedang berbaring bagaimanapun lantas terbangun selepas merasakan wajahnya dihembus dengan angin. Tak lama kemudian, dia melihat Alia berjalan perlahan ke dapur bersama basikal kecil yang dikutipnya itu tetapi basikal itu bergerak sendiri tanpa ditolak. "Awak jom tengok Alia, aku nampak dia ke dapur dengan basikal tapi..." kata Taufik yang tidak dapat meneruskan percakapannya. Belum sempat menghabiskan kata-kata, Taufik melihat satu lembaga hitam yang besar dan berbulu sedang memegang basikal kecil. Dia yang terkejut terus mengarahkan Sarah untuk mendukung Alia yang tiba-tiba menjerit dan menangis. Tanpa menunggu lama, Taufiq melaungkan azan kerana tidak tahu apa yang perlu dilakukan ketika itu. Dia bagaimanapun bersyukur kerana melihat kejadian tersebut sebelum situasi lebih teruk berlaku terhadap anak bongsunya. "Esok saya buang basikal ni dan panggil ustaz untuk 'tengok-tengok' rumah kita dan Alia," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube