PANTANG ada cuti, Zuhairi (bukan nama sebenar) pasti akan pulang menjenguk kedua ibu bapanya yang menetap di Kelantan. Dia yang bekerja di Kedah selalunya akan menggunakan laluan Gerik-Jeli untuk pulang ke kampung. Meskipun kerap mendengar cerita-cerita mistik tentang laluan Gerik-Jeli, Zuhairi tidak pernah berdepan sebarang pengalaman pelik selama ini. Malah, ada kalanya dia lebih selesa untuk bergerak pulang pada waktu malam kerana suasananya yang tenang selain tidak banyak kenderaan di atas jalan. Namun kepulangan Zuhairi pada awal Februari lalu bagaimanapun 'disambut' dengan satu pengalaman ngeri, menyebabkan dia kini trauma untuk memandu di laluan Gerik-Jeli pada waktu malam. Suasana gelap dan sunyi membuatkan pemanduan waktu malam lebih berbahaya. -Gambar hiasan Menurut Zuhairi, pemanduannya cukup tenang pada malam itu sehinggalah dia terserempak dengan sebuah kereta yang terlibat kemalangan. Menurut Zuhairi, dia melihat kereta yang remuk itu berada di tepi jalan, namun lampunya masih menyala. "Ni mesti baru terbabas. Tak ada siapa lagi yang datang tolong," getus Zuhairi dalam hati. Tanpa berlengah, dia terus memberhentikan kereta di bahu jalan dan berlari ke arah kenderaan terbabit untuk menyelamatkan pemandunya. ARTIKEL BERKAITAN: Teruja nak edit video mandi air terjun, TikToker mulut celupar meracau selepas tengok semula rakaman ARTIKEL BERKAITAN: Kereta diekori kain putih terbang, 3 sahabat serik memandu ke Kelantan waktu malam Ketika sampai di tepi kereta itu, lampunya tiba-tiba terpadam, malah tiada sesiapa yang berada di dalamnya. Zuhairi menyalakan lampu suluh daripada telefon miliknya, namun dia tidak melihat sesiapa di situ. Tiba-tiba Zuhairi terhidu bau busuk dan hanyir seperti darah, malah bulu romanya juga tiba-tiba berdiri. Zuhairi yang tidak sedap hati terus berjalan semula ke arah keretanya sebelum dia mendengar bunyi mengilai dari kejauhan. Ada pemandu mendakwa berdepan pengalaman misteri ketika memandu waktu malam. -Gambar hiasan Zuhairi yang menoleh ke arah semak terkejut apabila melihat kelibat pelik yang dipenuhi darah sedang melambai di sebalik pokok. Imbas Zuhairi, wajah makhluk itu kelihatan remuk, seperti orang yang baru sahaja terlibat kemalangan ngeri. Zuhairi yang ketakutan terus masuk ke dalam kereta dan meneruskan pemanduannya sambil diiringi bacaan ayat suci al-Quran. Meskipun melalui pengalaman menakutkan, Zuhairi selamat tiba di kampung halamannya di Kota Bharu. Esoknya, Zuhairi bercerita tentang kejadian itu kepada rakan-rakannya di kampung. Menurut rakannya Badrul, Zuhairi mungkin diganggu roh mangsa kemalangan yang maut di laluan Gerik-Jeli. Malah, Badrul berkata dia dan isterinya juga pernah berdepan kejadian hampir sama beberapa tahun lalu. Sejak itu, Zuhairi serik untuk memandu sendirian di laluan Gerik-Jeli pada waktu malam. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube