suria

Tiga tahun suami hilang, isteri terkejut jumpa sedang selongkar sampah... Rupanya terkena sihir wanita Indonesia mahu kerakyatan!

Sihir pemisah biasanya digunakan untuk meruntuhkan rumah tangga. -Gambar hiasan

SETIAP pasangan suami isteri pasti tidak lekang dengan ujian rumah tangga.

Perkara sama dialami Effa ketika perkahwinannya menjangkau usia tujuh tahun.

Berkongsi cerita, dia tidak menyangka suaminya akan terkena sihir pemikat yang didakwa dilakukan seorang wanita warga Indonesia.

Malah disebabkan perbuatan kurafat itu, suaminya tidak dapat dikesan selama tiga tahun sehinggalah dia berikhtiar dengan rawatan Islam.

“Saya baca Yassin Mubin sambung al-Waqeah dan al-Mulk bermula malam Jumaat. Saya buat berturut-turut selama satu minggu dan Allah tunjuk macam tengok wayang.

“Masa ni suami saya hilang daripada radar selama tiga tahun... dia ada balik tapi sekejap macam orang ketakutan.

Minyak pengasih digunakan untuk menarik minat individu yang disukai. -Gambar hiasan

Minyak pengasih digunakan untuk menarik minat individu yang disukai. -Gambar hiasan

“Rupa-rupanya dia kena sihir guna-guna, dia berkahwin dengan perempuan tu yang ingin mendapat status warganegara,” ujarnya.

Mengimbau semula detik hitam yang berlaku 11 tahun lalu, ujar Effa, kejadian tersebut sentiasa segar dalam ingatannya seolah-olah baru terjadi.

Menurut Effa, kehidupan suaminya menjadi semakin teruk dan tidak terurus pada tahun ketiga perkahwinan dengan wanita terbabit.

Bola-bola api kecil terbang keliling rumah, langgar pintu dan dinding tapi tercampak balik.

EFFA

Segalanya berpunca selepas hajat wanita tersebut untuk mendapatkan status kerakyatan Malaysia tidak berjaya.

“Tahun ketiga tu dia mohon kerakyatan tapi tak dapat sebab mereka nikah sahaja tanpa melakukan pendaftaran.

“Disebabkan impiannya tidak berjaya, dia campak dan biar suami saya terlantar, hilang kerja. Suami tak dapat cari kerja baru sebab kad pengenalannya ada pada saya.

“Jadinya, setiap hari suami dimaki hamun dan dibiar kelaparan,” imbaunya lagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Edit gambar sebelum upload di media sosial elak kena sihir, jangan sesekali kongsi 2 butiran peribadi ibu

Meskipun dia diberi petunjuk tentang keadaan suami, namun Effa mengakui dia tidak mengetahui lokasi keberadaan lelaki terbabit.

Bagaimanapun kata Effa, Allah menggerakkan hatinya ke satu lokasi sehinggalah dia melihat keadaan suaminya.

“Saya nampak suami tengah selongkar tong sampah. Saya meraung menangis tengok keadaan dia yang kurus kering tinggal tulang dan kulit... tiada rupa dia langsung.

“Saya bawa dia balik dan bagi makan, dia nampak gelisah. Saya terus bagi dia minum air Yassin dan tak lama selepas itu dia muntah-muntah hitam macam air longkang busuk yang beserta rambut.

“Bermula hari tu, saya rawat dia dari jauh dengan bacakan Yassin dan al-Fatihah bersama ayat untuk mematahkan sihir,” luahnya hiba.

Rawatan yang dilakukan sendiri oleh Effa kemudiannya dihidu oleh wanita terbabit.

Minyak pengasih membuatkan mangsa seperti hilang kewarasan akal. -Gambar hiasan

Minyak pengasih membuatkan mangsa seperti hilang kewarasan akal. -Gambar hiasan

Susulan daripada itu, Effa sentiasa menerima gangguan halus termasuk bola-bola api yang dihantar kepadanya setiap malam.

“Perempuan tu hantar balik pada saya tapi tak kena sebab tak boleh masuk rumah saya. Setiap malam saya solat tahajud dan solat hajat.

“Bola-bola api kecil terbang keliling rumah, langgar pintu dan dinding tapi tercampak balik. Dua minggu selepas itu, suami balik sendiri dan dia nampak macam dah waras.

“Dia ajak saya jumpa perempuan tu untuk selesaikan masalah, depan saya, dia ceraikan perempuan tu dan mengaku tak sedar sudah berkahwin dengan perempuan tu,” tambah Effa.

Hubungan suami isteri bahagia tanpa kehadiran orang ketiga. -Gambar hiasan

Hubungan suami isteri bahagia tanpa kehadiran orang ketiga. -Gambar hiasan

Mengakui terkejut dengan tindakan spontan suaminya, dia kemudian menyatakan keinginan untuk membawa pulang lelaki itu kerana talak telah dijatuhkan.

Beranggapan kehidupan keluarganya kembali normal, Effa dikejutkan sekali lagi dengan dugaan sihir daripada bekas madunya.

“Tiga bulan lepas tu jadi lagi. Suami saya gelisah dan dia cakap badan saya bau busuk tanah liat dan muka macam nenek kebayan.

“Tanpa menunggu lama, saya pisah tempat tidur dan buat solat hajat. Syukur Alhamdulillah semuanya kembali pulih,” katanya yang sudah 18 tahun hidup bersama dengan suaminya.

Tambah Effa, ujian yang dialami itu berlaku ketika dia sedang hamil anak keempat sehinggalah anaknya berusia dua tahun.

Malah katanya, hasrat untuk mencari suaminya dilakukan selepas dia kerap bermimpi kehadiran lelaki itu bersama perempuan yang kelihatan seperti bayang hitam dengan wajah menakutkan.

Untuk peringatan bersama, dalam Islam mempelajari ilmu sihir adalah haram sebagaimana sabda Baginda Rasulullah: Jauhilah tujuh jenis dosa besar yang membinasakan.

Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah dosa-dosa itu? Sabda Baginda: Menyekutukan Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan melainkan dengan alasan yang benar, makan riba, makan harta anak yatim, lari daripada perang dan menuduh wanita yang beriman yang tidak bersalah dengan tuduhan zina." - [HR Bukhari 2766].

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain