SEMPENA cuti sekolah yang sedang berlangsung, ramai individu mengambil kesempatan untuk bercuti dengan keluarga.
Adam (bukan nama sebenar) turut membawa keluarganya bercuti ke sebuah negeri yang popular di utara tanah air.
Percutian itu bukan sahaja disertai anak dan isteri Adam, malah kedua ibu bapanya turut dibawa bersama.
Adam menganggap peluang ini sebagai peluang terbaik untuk menggembirakan ibu bapanya yang sudah lanjut usia.
Segalanya berjalan dengan lancar, malah mereka begitu seronok apabila memilih penginapan yang dekat dengan kawasan pantai.
Pada malam terakhir berada di negeri itu, Adam sekeluarga berdepan kejadian pelik apabila bapanya tiba-tiba berubah sikap.
Ketika itu, mereka sekeluarga baru sahaja masuk ke sebuah restoran yang menyediakan masakan tempatan.
Sebaik sahaja duduk di meja, bapa Adam tiba-tiba diam dan hanya tunduk memandang lantai.
Makanan yang sedap merupakan 'pelaris' sebenar kepada setiap kedai makan. -Gambar hiasan
Namun, mereka beranggapan bapanya mungkin penat selepas seharian keluar berjalan-jalan dalam cuaca yang panas.
Ketika makanan sampai ke meja, wajah bapanya kelihatan seperti terkejut dan dia terus berjalan laju keluar dari restoran.
Adam yang risau turut mengekori bapanya sebelum dia melihat warga emas itu muntah berhampiran tempat letak kereta.
Ketika itu, bapanya menyuruh Adam mengajak keluarganya untuk segera pulang.
ARTIKEL BERKAITAN: Kulit berubah jadi bersisik, ‘instafamous’ cantik kena buatan orang! Rupanya angkara isteri pengikut fanatik
ARTIKEL BERKAITAN: Rumah sewa diganggu lepas 2 minggu housemate meninggal, perawat bongkar barang kotor di bilik arwah jadi punca
Adam yang kebingungan cuba bertanya lagi, namun bapanya berkeras agar mereka segera meninggalkan kedai itu.
Adam akur dan dia terpaksa membayar harga makanan yang mencecah RM150 meski pun ia langsung tidak dijamah mereka sekeluarga.
Selepas pulang ke inap desa, barulah bapanya membuka cerita yang dia melihat banyak makhluk pelik berkeliaran di dalam kedai makan itu.
Cerita bapanya, dia turut melihat makhluk berwajah hodoh memanjat meja dengan lidah panjang yang terjelir keluar.
Lebih menyeramkan, dia melihat air liur makhluk-makhluk itu meleleh masuk ke dalam pinggan makanan.
Menurut bapanya, dia mengesyaki kedai itu memakai pelaris untuk menarik kehadiran lebih ramai pelanggan.
Akhirnya, Adam terpaksa pergi ke kedai serbaneka dan membeli mi segera serta roti untuk mengalas perut keluarganya pada malam itu.
Kejadian itu juga menyebabkan Adam kini lebih berhati-hati untuk memilih restoran.