PENGALAMAN seram dialami Husna dan suaminya ini mungkin bakal menjadi igauan ngeri bagi sesiapa yang sering memandu pada waktu senja.
Kejadian yang sukar dilupakan ini berlaku sewaktu mereka dalam perjalanan pulang dari Gua Musang, Kelantan menuju ke Kuala Lumpur.
Ketika jarum jam menunjukkan pukul 7.30 malam, suasana di lebuh raya mula gelap.
Di kiri dan kanan jalan, hanya ada hutan tebal yang membuatkan Husna berasa sedikit seram.
Walaupun terdapat beberapa kenderaan lain yang lalu lalang, pasangan suami isteri ini tetap berasa kurang selesa.
Sedang mereka asyik berbual untuk menghilangkan rasa seram dan tidak selesa, Husna tiba-tiba terlihat sesuatu yang aneh.
Kejadian berlaku sewaktu pasangan itu dalam perjalan pulang dari kampung.
Sehelai kain putih besar berterbangan di sebelah kereta mereka sebelum melintas tepat di atas bumbung membuatkan dia terkejut dan tergamam.
"Mustahil itu seekor burung... Burung apa yang tiada kepala dan sayap?" bisiknya dalam hati.
Suasana di dalam kereta kemudian kembali sunyi dan kemudiannya Husna memberanikan diri bersuara semula.
"Abang (panggilan pada suami) nampak tak tadi?" ujarnya sambil menoleh ke arah suami.
Lelaki itu hanya mengangguk dan meneruskan perjalanan mereka seperti tiada apa-apa yang terjadi.
Belum sempat pasangan ini merungkai kejadian aneh itu, tiba-tiba beberapa kenderaan dari arah bertentangan menghidupkan 'high beam' (lampu tinggi) ke arah mereka.
Seolah-olah ada sesuatu yang pemandu-pemandu itu ingin sampaikan.
Saat suaminya cuba memberi lebih fokus pada pemanduan, dia tiba-tiba mengeluh.
Satu entiti kelihatan melintas di hadapan kereta sebelum diganggu. -Gambar hiasan
"Sayang (panggilan Husna), kenapa rasa macam jalan ni hilang?" ujar si suami memandang Husna dengan cemas.
Tidak sampai beberapa saat selepas itu, bunyi tawa nyaring bergema di bahagian luar.
Gelak tawa itu cukup jelas, menyerupai suara pontianak membuatkan kedua-duanya mula panik.
Namun semakin suaminya menekan pedal minyak, meter kelajuan kereta langsung tidak bergerak.
Kenderaan terasa berat seolah-olah ada sesuatu yang 'menumpang'.
Dengan hati yang berdebar, mereka serentak membaca doa dan memohon perlindungan.
Tidak lama selepas itu, suasana kembali normal dan bunyi mengilai menghilang serta kereta akhirnya dapat dipandu seperti biasa.
Perjalanan diteruskan tetapi kedua-duanya membisu ketakutan.
Sejak kejadian itu, Husna dan suami tidak lagi pulang dari kampung mereka pada waktu senja.