RAMBUT ibarat mahkota kepada seorang wanita, tetapi berapa ramai yang benar-benar tahu tentang berapa kerapkah anda perlu membasuh rambut. Jika ditanya soalan ini kepada 10 orang wanita, jawapan yang diberikan pasti berbeza untuk setiap seorang. Ada yang tidak senang duduk walaupun baru sehari tidak mencuci rambut, tetapi ada wanita yang dapat bertahan walaupun rambut tidak dicuci selama beberapa hari. Malah jangan terkejut jika terdapat juga golongan yang tidak kisah rambutnya dibiar tidak dicuci selama seminggu atau lebih. Tetapi apakah jawapan yang betul kepada persoalan ini? Menurut pendandan rambut antarabangsa dan pakar hairstylist Pantene, Barney Martin, berapa kerap anda perlu membasuh rambut dengan syampu sebenarnya bergantung kepada jenis rambut, tetapi secara umum, ramai yang melakukannya dengan kerap. Salah satu masalah terbesar pelanggannya yang disedari oleh Martin ialah mereka mencucinya secara ‘over’ (berlebihan). Rambut tidak perlu dicuci dengan syampu setiap hari. Dia mendapati kebanyakan wanita membasuh rambut mereka dengan syampu setiap hari, yang mana ia akan menghilangkan minyak semulajadi dan membuatkan rambut bercabang, kerinting dan licin. Untuk perlindungan selamat Martin berkata selang sehari adalah kekerapan yang terbaik tanpa mengira berapa panjang rambut seseorang itu. Tetapi ia tetap bergantung kepada jenis rambut mereka. Untuk mengelakkan anda daripada ‘terover’ membasuh rambut, apa yang boleh anda buat adalah tanyakan kepada diri sendiri empat soalan ini sebelum anda mencapai botol syampu. 1. Adakah anda mempunyai kulit berminyak? Kulit berminyak yang dimaksudkan adalah kulit muka dan kulit kepala, kerana kemungkinannya adalah, jika anda mempunyai kulit berminyak di muka, maka helaian rambut anda juga berkemungkinan besar mempunyai lebihan minyak. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, Martin mengesyorkan anda mencuci rambut dengan syampu dua hari sekali, tetapi hendaklah dibasuh dengan air setiap hari. 2. Adakah anda mempunyai rambut tebal, kasar atau kerinting? Jika jawapannya ya, anda mungkin boleh mencucinya selang dua atau tiga hari sekali. Ini kerana, jika rambut jenis ini dicuci terlalu kerap, akhirnya ia akan terhidrasi dan menjadi sangat kering kerana rambut anda mungkin mempunyai lebih liang. Bagaimanapun anda perlu mencucinya dengan air pada hari-hari lain dan boleh menggunakan perapi untuk memastikan rambut anda tidak terlalu kering. 3. Adakah anda mempunyai rambut halus? -foto MamaMia Martin berkata rambut halus perlu dicuci lebih kerap sedikit untuk mengelakkan kelemumur, tetapi dua hari sekali masih memadai, dengan membilasnya dengan air pada hari yang lain untuk menyingkirkan lebihan minyak. 4. Adakah anda bersenam atau berenang? Walaupun anda bersenam setiap hari, anda masih tidak perlu syampu rambut setiap hari. Sebaliknya, membasuhnya dengan air dan menggunakan syampu kering selepas itu sudah mencukupi. Jika anda berenang maka anda perlu menggunakan syampu clarifying dan basuh rambut anda selepas anda berada di kolam renang. Adalah penting untuk membuang klorin atau air garam dari rambut anda. Martin juga mengesyorkan perenang melakukan rawatan menyeluruh kerana syampu clarifying akan mengeringkan rambut lebih daripada syampu lain. -MamaMia