suria

Kuku kasar dan mudah pecah? Jom cek kesalahan yang biasa dilakukan ketika potong kuku

Terdapat beberapa kesilapan yang biasa dilakukan ketika mengetip kuku sehingga menyebabkan kuku mudah rosak dan kasar.

LAZIMNYA kita lebih memberi tumpuan kepada penjagaan kulit muka, bentuk tubuh dan rambut kerana ia dianggap aset penting setiap insan.

Namun kadang-kadang kita terlupa bahawa penjagaan kuku juga perlu dititikberatkan.

Seringkali kita berfikir bahawa penjagaan kuku sudah memadai dengan hanya rutin mengetipnya apabila ia panjang, maka kuku akan sihat.

ARTIKEL BERKAITAN: Ada 7 rahsia ajaib ais untuk muka... bukan sahaja jimat, juga boleh cegah penuaan! 

ARTIKEL BERKAITAN: Nak elak penuaan di usia muda? Senang je, cuba guna 5 bahan semula jadi ini, terbukti selamat!

Anda silap! Sebenarnya ada beberapa kesilapan yang biasa dilakukan dan menyebabkan kuku anda mudah rosak dan kasar.

Jom semak, apakah anda biasa lakukan kesilapan seperti di bawah.

1.Tidak gunakan pengetip kuku yang betul.

Benar, pengetip kuku mudah didapati pada harga yang murah. Namun tahukah anda, pengetip kuku juga mudah berkarat dan cepat tumpul. Tanpa anda sedari, kuku akan rosak dan kasar di bahagian yang dipotong jika anda masih terus menggunakannya. 

Justeru, tidak ada salahnya jika anda melabur lebih sedikit untuk membeli pengetip kuku yang berkualiti. Anda boleh mencari alat yang diperbuat daripada keluli tahan karat. Bukan saja tahan lama, kuku anda juga tidak akan rosak!

Tidak salah untuk membeli pengetip kuku yang berkualiti tinggi agar kuku tidak rosak.

2. Potong kuku dalam keadaan basah

Walaupun kuku basah lebih lembut dan mudah dipotong, namun tabiat ini sebenarnya tidak baik untuk kesihatan kuku. Kuku basah mempunyai risiko besar untuk pecah atau terkoyak.

Bagaimanapun, bagi yang mempunyai kuku tebal, tidak ada masalah untuk anda memotong kuku dalam keadaan basah, dengan syarat, pastikan anda mengelap kuku terlebih dahulu dan gunakan pengetip kuku yang kering.

3. Tidak bersihkan pengetip kuku

Adalah menjadi kebiasaan bagi sesetengah orang berkongsi satu pengetip kuku untuk seluruh penghuni dalam rumah. Dalam keadaan ini, barangkali pengetip kuku juga jarang dibersihkan. Awas kerana dalam sesetengah kes, pengetip kuku yang kotor boleh menyebabkan jangkitan pada kuku atau kulit di sekitar kuku. 

Oleh itu, adalah sangat penting untuk membersihkan pengetip kuku dengan kerap, apatah lagi jika ia dikongsi ramai.

Penjagaan kuku juga perlu dititikberatkan kerana ia melambangkan tahap kebersihan seseorang. 

4. Potong kuku terlalu pendek

Sesetengah orang mungkin memotong kuku seadanya asalkan pendek. Namun, cara yang disyorkan untuk memotong kuku adalah dalam bentuk lurus. Kuku juga tidak wajar dipotong terlalu pendek sehingga rapat kepada isi kuku. Ini boleh menyebabkan kulit anda luka dan mencacatkan kecantikan jari.

5. Kikir kuku

Untuk merapikan bentuk kuku yang kurang kemas atau kasar, anda boleh menggunakan pengikir kuku. Bagaimanapun, kesilapan yang sering berlaku adalah anda menggosok alat pengikir ke belakang dan sebaliknya dan ini menjadikan kuku lebih kasar. 

Cara yang betul adalah menggosok kuku dalam satu arah sahaja, supaya bahagian kuku tetap lembut dan licin. -BEAUTY JOURNAL

kuku, pengetip kuku

Artikel Lain