SEBUT sahaja mengenai kahwin, pasti kita terbayangkan dua mempelai segak bersanding di atas pelamin. Tapi harus diingat, ada 1001 perkara yang perlu diuruskan dalam menjayakan majlis raja sehari itu. Silap hari bulan, mungkin puluhan ribu ringgit terpaksa dibelanjakan demi merealisasikan majlis impian. Namun jangan risau, ayuh semak lapan perkara yang perlu anda ambil tahu dalam menjayakan majlis kahwin impian dengan bajet rendah, namun hasilnya tetap wow! 1) Kad undangan Zaman pun dah berubah, kad undangan tradisional yang dikirim dalam sampul mungkin sudah tak relevan pada sesetengah individu. Malah, makin banyak kad undangan dicetak, makin mahal pula harganya sehingga mencecah ratusan ringgit. Sekarang anda boleh buat kad undangan digital secara percuma dalam internet. Yang berbayar pun ada, namun harganya cukup murah. Kad kahwin digital memudahkan urusan jemputan tetamu masa kini. Dengan sekali bayar, anda boleh menggunakannya tanpa had. Lebih menarik, ada fungsi navigasi peta ke lokasi perkahwinan. Fungsi RSVP pun ada, so bolehlah anda buat kiraan awal jumlah tetamu yang bakal hadir. 2) Barang Hantaran Hidden hantaran atau hantaran bungkus merupakan satu konsep yang cukup menarik. Mungkin sebelum ini ada pasangan yang terpaksa berbelanja mewah kerana tidak mahu hantaran mereka menjadi sindiran orang sekeliling. Namun dengan adanya konsep hantaran bungkus, tiada siapa yang tahu apa isi di dalamnya. Bijak bukan? Kalau nak bungkus kotak kosong pun orang tak tahu, eh gurau je! Konsep hidden hantaran turut menjadi pilihan pengantin masa kini. Dengan konsep ini, pengantin tidak perlu risau untuk meletakkan barang berjenama sahaja di atas dulang hantaran mereka. Boleh je bagi benda murah, asalkan praktikal dan boleh digunakan selepas kahwin nanti. 3) Gabung Majlis Kenapa perlu adakan sampai tiga majlis kalau ia boleh dilakukan sekali sahaja? Majlis akad nikah, resepi belah perempuan, kemudian majlis bertandang di pihak lelaki. Tiga kali majlis, tiga bajet berbeza. Ini semua boleh dielakkan. Banyak perbelanjaan terpaksa dikeluarkan jika membuat majlis di kedua-dua belah pihak. (Foto: iHX PRODUCTION) Apa kata pilih satu venue, lakukan acara akad nikah dan kemudian terus bersanding. Kalau nak tempah katering pun, sekali je. Kalau tiga majlis, tiga kali katering, botaklah pengantin! 4) Sewa baju atau D.I.Y Busana kahwin menyimpan banyak nilai sentimental buat pengantin. Malah, pasti seronok jika ia boleh ditunjukkan kepada anak cucu kelak. Namun, harga baju kahwin bukanlah murah, apatah lagi jika ia custom-made. Kenapa perlu beli sampai mencecah ribuan ringgit kalau anda boleh sewa pada harga yang murah? Busana pengantin sewa atau custom-made? Tepuk dada tanya selera anda. (Foto: Helmiey Ishak) Ada juga pengantin yang membeli baju kurung moden polos, kemudian D.I.Y sendiri labuci dan manik sebelum digayakan pada hari bahagia. Kalau kreatif, apa salahnya kan? 5) Jurufoto Matematiknya cukup mudah. Kalau anda ambil khidmat fotografi dengan add-on pakej album gambar, harganya pasti mahal. Sebenarnya anda boleh request untuk soft copy sahaja macam seorang pengantin yang berkongsi kisahnya dengan mStar baru-baru ini. Potret di hari bahagia sangat penting untuk dijadikan kenangan di masa hadapan. (Foto: iHX PRODUCTION) Kata Syaheera Sohaimi, dia boleh saja membuat cetakan gambar dan album sendiri selepas berakhirnya majlis kahwin. Dengan ini, dia boleh menjimatkan wang untuk potret hari bahagia. Tambah-tambah zaman sekarang, gambar di Instagram lebih penting berbanding album gambar fizikal, betul tak? Nak lagi murah, ambil gambar guna telefon pintar. Kalau kena teknik mobile-photography, hasilnya pastinya luar biasa, persis bidikan lensa profesional. 6) Kek kahwin Antara elemen penting dalam sesebuah majlis kahwin tentunya acara memotong kek. Namun, harganya juga boleh mencecah ratusan ke ribuan ringgit, bergantung kepada permintaan pengantin. Kalau anda frajin buat carian di media sosial, wujud lambakan peniaga kek yang menawarkan harga murah dengan rekaan cukup menarik. Serendah RM50 pun ada. Yang penting, rasanya sedap. Rugi kalau tempah kek sampai RM300 tapi rasanya menghampakan. Buatlah pilihan dengan bijak! 7) Cincin Bercerita mengenai cincin, konsep less is more patut menjadi panduan utama para pengantin. Buat pilihan bijak dalam mendapatkan barang kemas yang bersesuaian dengan bajet pengantin. (Foto: Helmiey Ishak) Mengapa perlu membeli cincin yang besar, mahupun penuh dengan permata jika boleh mendapatkan perhiasan itu dalam rekaan lebih simple, polos dan berharga jauh lebih rendah? Dalam anggaran harga RM200 ke RM500 untuk sebentuk cincin. Itu pastinya sudah memadai. 8) Promo promo promo Disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pandemik Covid-19, ramai peniaga yang terjejas. Dalam meneruskan kelangsungan perniagaan, mereka tampil dengan pelbagai pakej dan promo gila-gila, pada harga rendah luar biasa. Para pengantin harus rajin menyemak laman sosial peniaga-peniaga ini. Dengan pakej yang ditawarkan, ia dapat memberikan penjimatan berganda. Pengantin harus bijak mencari penyedia khidmat fotografi, solekan, makanan dan sebagainya yang menawarkan harga berpatutan untuk hari bersejarah mereka. (Foto: Helmiey Ishak) Bukan sahaja penyedia kek, pelamin, solekan, mahupun jurufoto, malah ada hotel yang turut menawarkan harga bilik yang cukup murah untuk para pengantin dengan pakej stay and dine di ibu negara. Hanya bayar harga bilik, pengantin boleh menyewa beberapa unit untuk keluarga mereka juga dan makanannya pula percuma. Wow! Buat majlis di hotel pun murah sekarang. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!