TERKANDAS dalam dunia kebankrapan pasti merunsingkan sesiapa sahaja.
Kesukaran makin dirasai apabila mereka yang terlibat bukan sahaja sering diganggu pemiutang, malah tidak boleh diambil bekerja.
Mengharungi situasi seperti itu, seorang pelayar Facebook berkongsi pengalaman pahitnya untuk mendapatkan pekerjaan kerana memegang status muflis.
"Pengalaman saya yang pernah bankrap, susah hati tak payah kata... pinjaman ASB (Amanah Saham bumiputera) kena tutup, duit hangus dan akaun bank kena tutup.
"Keadaan lebih tegang apabila tidak dapat tukar pekerjaan yang lebih baik kerana banyak syarikat tidak terima orang bankrap," ujarnya.
Dia yang ingin dikenali sebagai Jai berkata, situasi semakin sukar apabila dia juga tidak dibenarkan untuk ke luar negara.
Mengakui runsing dengan situasi yang dialami, dia kemudiannya melangkah kaki ke Jabatan Insolvensi.
Ramai yang cuba mencari jalan keluar apabila menghadapi masalah kewangan. -Gambar hiasan
"Sebelum pergi tu, saya hubungi dulu supaya dapat bawa dokumen yang diperlukan termasuk slip gaji dan resit perbelanjaan diri, keluarga, anak-anak.
"Apa sahaja dokumen berkaitan rumah, kereta, motosikal, utiliti dan sebagainya.
"Di sana kena isi borang yang berkaitan terlebih dahulu," jelasnya lagi.
Menurutnya, bagi mengelakkan kenderaan ditarik pihak perbankan, dia cuba membuat rayuan terlebih dahulu.
ARTIKEL BERKAITAN: Gelabah diisytihar muflis, lelaki cuba langsaikan hutang tapi ditegah pengurus bank... Umur 50 tahun baru tahu sebabnya
Tambahan pula, kesemua aset berkenaan adalah kegunaan harian termasuk untuk urusan bekerja dan menghantar anak sekolah.
"Kalau tak buat rayuan, berisiko untuk kena tarik dan selepas itu, barulah mereka buat kiraan kos perbelanjaan bulanan.
"Selesai perkiraan, pihak insolvensi akan beri satu surat untuk diserahkan kepada bank apabila saya nak buat kad bank untuk kemasukan gaji sahaja," kongsinya lagi.
Setiap manusia tidak lepas daripada dugaan dan cabaran hidup. -Gambar hiasan
Terus berusaha untuk menghapuskan status bankrap, dia sentiasa mendapatkan pandangan daripada pihak insolvensi.
Malah tanpa diduga, dia kini tidak lagi dibelenggu status berkenaan dan boleh melakukan penerbangan ke luar negara pada bila-bila masa.
"Baru-baru ni saya sengaja semak kebenaran ke luar negara yang sebelum ini dimaklumkan perlu ke Jabatan Imigresen.
"Tapi sekarang sudah tulis tiada halangan... jadi saya cuba semak dalam Insolvensi mengenai status bankrap dengan bayaran RM10, Alhamdulillah sudah tulis tiada bankrap.
"Hanya Tuhan saja yang tahu, rasa macam kelahiran semula, lapang dada dan saya cuba buka satu akaun bank baru-baru ni... itupun lepas," tambahnya.
Pada masa sama, Jai menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan kerana menetapkan supaya mereka yang muflis di bawah RM30,000 dapat 'dibebaskan'.
"Sebelum ni dekat RM60,000 hutang... bayaran dbuat setiap bulan, jadi dah tak sampai RM30,000.
"Pesanan saya, kalau bank hubungi, jangan lari. Cuba bincang dulu dengan pihak bank atau pihak yang boleh memufliskan kita, insya-Allah ada jalan keluar," jelasnya lagi.