suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Letak sasaran nak beli rumah sebelum usia 30 tahun? Semak dulu 8 asas kewangan ini elak menyesal di kemudian hari

Menentukan keutamaan khususnya dalam pengurusan kewangan sangat penting. -Gambar hiasan AI

MEMILIKI rumah sendiri sememangnya merupakan salah satu impian terbesar bagi setiap individu yang sudah mula melangkah ke alam pekerjaan.

Bagaimanapun, untuk merealisasikan perkara tersebut, perlu diakui ia memerlukan satu komitmen kewangan cukup besar lebih-lebih lagi untuk anak muda yang baru sahaja mahu membina tapak kerjaya.

Malah, kesilapan menentukan keutamaan dalam pengurusan komitmen berisiko memberi kesan buruk terhadap aliran tunai bulanan, perancangan kerjaya, serta bebanan hutang jangka panjang.

Menyentuh mengenai isu ini, seorang pengguna Threads, duit.jebro berkata, terdapat beberapa perkara penting yang perlu diambil kira khususnya anak muda sebelum membuat keputusan bagi membeli hartanah.

"Kalau umur anda sekitar 25 hingga 29 tahun, jangan sibuk nak fikir beli rumah dulu. Semak lapan perkara ini terlebih dahulu.

"Sebab bila masuk umur 30-an dengan gaji RM6,000 tapi financial foundation kosong... tak semestinya lebih baik berbanding orang yang bergaji RM4,000 tetapi pengurusan duitnya tersusun," tulisnya.

Berikut merupakan lapan aspek pengurusan kewangan yang disarankannya untuk dinilai terlebih dahulu sebelum membuat keputusan membeli rumah:

1. Tabung kecemasan

Ramai tersilap langkah menganggap simpanan asas misalnya RM10,000 sudah mencukupi sebagai benteng kecemasan tanpa mengira komitmen bulanan sebenar.

Hakikatnya, tabung ini wajib menyediakan sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan kos sara hidup bagi mendepani ujian kewangan di luar jangkaan.

Jika komitmen bulanan anda mencecah RM3,000, sasaran utama yang perlu dicapai adalah sekitar RM9,000 hingga RM18,000.

2. Aliran tunai yang sihat

Isu 'poket kering' menjelang hujung bulan sering kali berpunca daripada tabiat berbelanja yang meningkat lebih pantas berbanding kenaikan gaji bulanan.

Kegagalan menguruskan aliran tunai menyebabkan pendapatan RM4,000 habis begitu sahaja untuk komitmen kereta, sewa, serta lambakan gaya hidup digital.

Keadaan ini menunjukkan masalah sebenar bukan sekadar tangga gaji yang rendah, tetapi kegagalan mengawal aliran keluar masuk wang.

3. Ketahui hutang anda

Langkah awal memerdekakan diri daripada belenggu kewangan adalah dengan menyenaraikan semua komitmen secara telus termasuk PTPTN, kad kredit, dan penggunaan kemudahan kewangan seperti pelan beli sekarang bayar kemudian (BNPL).

Anda tidak perlu takut berhadapan dengan jumlah angka sebenar demi mengetahui kadar faedah serta tempoh penyelesaian berbaki.

Menolak realiti bebanan hutang hanya akan meletakkan kedudukan kewangan anda dalam bahaya lebih besar.

4. Bina perlindungan asas

Golongan muda sering mengambil mudah kepentingan perlindungan diri atas alasan faktor usia yang masih bertenaga dan sihat.

Hakikatnya, waktu muda inilah fasa paling kritikal untuk memahami dan mendapatkan skim takaful, kad perubatan, serta perlindungan penyakit kritikal pada kadar premium lebih rendah.

Bukan hendak menakutkan, tetapi satu kes kecemasan kesihatan sahaja sebenarnya sudah cukup untuk berisiko meleburkan segala wang simpanan yang telah anda kumpul bertahun-tahun.

5. Jangan abaikan KWSP

Jangan sekadar membiarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disimpan tanpa memantau jumlah terkumpul dan nilai sumbangan bulanannya.

Sedarlah bahawa dana persaraan tersebut tidak akan memberi jaminan keselesaan secara magis sekiranya tiada perancangan tambahan dibuat dari sekarang.

Walaupun tempoh persaraan berbaki 30 tahun lagi, masa bergerak jauh lebih pantas daripada apa yang kita bayangkan.

Tak perlu tunggu modal besar untuk mula belajar melabur. -Gambar hiasan AI

6. Mula melabur walaupun kecil

Langkah pelaburan tidak memerlukan modal besar mencecah puluhan ribu ringgit mahupun kemahiran dagangan saham yang kompleks secara terus.

Anda boleh memulakan langkah dengan konsisten menyuntik RM100 hingga RM500 sebulan sambil mempelajari konsep pulangan faedah terkompaun serta kepelbagaian aset.

Fokus utama adalah membina ilmu mengurus risiko terlebih dahulu agar wang anda tidak lebur sebelum mengejar pulangan yang tinggi.

7. Ketahui ke mana duit anda digunakan

Semakan dan pemantauan terhadap akaun bank serta penyata kad kredit secara bulanan adalah wajib bagi mengesan 'kebocoran halus' daripada langganan aplikasi atau aplikasi beli-belah digital.

Sering kali, impak kewangan terbesar bukan datang daripada perbelanjaan premium sekali-sekala, tetapi daripada pembelian kecil RM18 yang diulang sebanyak puluhan kali tanpa sedar.

Disiplin menjejak setiap sen ini akan merungkai misteri mengapa tabung simpanan anda sukar untuk berkembang.

8. Tetapkan sasaran kewangan

Menetapkan matlamat untuk sekadar 'menjadi kaya' adalah terlalu kabur dan menyukarkan fokus pengurusan aset jangka panjang anda.

Sebaliknya, tetapkan sasaran yang lebih spesifik seperti bebas hutang kad kredit atau memiliki dana pelaburan RM50,000 menjelang usia 30 tahun.

Tanpa hala tuju dan destinasi yang jelas, wang anda akhirnya akan mengalir keluar ke tempat yang paling mudah untuk dibelanjakan.

Artikel Lain

Bersama rehatkan Nik Nazmi 3 bulan