suria
Nexus- chevron_right featured_seasonal_and_gifts0
info
Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda dan tebus hadiah di Nexus.
close hadiah

Ganjaran Anda Sedang Menanti!

Kekal berdaftar untuk menyimpan mata ganjaran anda. Klik pada mata ganjaran untuk menebus hadiah di Nexus sebelum tamat tempoh.

Daftar Masuk Sekarang

Banyak risiko jadikan kawan baik sebagai ‘partner’ bisnes... Teliti 7 perkara ini sebelum buat keputusan kongsi modal

Segelintir individu memilih untuk memulakan perniagaan bersama rakan karib mereka. -Gambar hiasan AI

BEKERJA dengan kawan baik pastinya menyeronokkan, apatah lagi apabila dapat berkongsi idea, gelak tawa dan meluangkan banyak masa bersama.

Namun, apabila melibatkan soal perniagaan, ceritanya mungkin berbeza kerana keakraban sebagai sahabat tidak semestinya bermakna anda serasi sebagai rakan kongsi.

Malah, masalah yang timbul dalam urusan perniagaan boleh menggugat hubungan persahabatan, malah lebih teruk, menyebabkan dua sahabat bermusuhan dan akhirnya menjadi orang asing.

Walaupun nampak menarik, sebenarnya ada beberapa sebab mengapa anda perlu berfikir dua kali sebelum menjadikan bestie sebagai rakan niaga.

1. Jangan samakan persahabatan dengan keserasian dalam perniagaan

Menjadi rakan baik tidak bermakna anda berdua mempunyai cara kerja dan pemikiran yang sama. Dalam perniagaan, setiap individu perlu tahu cara bekerjasama dan menghormati tanggungjawab masing-masing.

Perbezaan pendapat tentang cara menguruskan operasi harian atau siapa yang patut membuat keputusan boleh mencetuskan konflik jika tidak ditangani dengan baik.

2. Tetapkan pembahagian tugas sejak awal

Setiap rakan kongsi perlu mempunyai peranan dan tanggungjawab yang jelas bagi mengelakkan salah faham. Jangan anggap semua perkara boleh dilakukan bersama tanpa pembahagian tugas yang teratur.

Sediakan perjanjian bertulis supaya setiap pihak memahami tanggungjawab, kuasa dan komitmen masing-masing.

3. Bersedia menghadapi kemungkinan perniagaan gagal

Bukan semua perniagaan akan berjaya dan risiko kerugian perlu dipertimbangkan sejak awal. Kegagalan bukan sahaja memberi kesan kepada kewangan, malah boleh menguji hubungan persahabatan.

Fikirkan sama ada anda dan rakan mampu mengekalkan hubungan baik sekiranya perniagaan yang dibina bersama tidak menjadi seperti dirancang.

Konflik yang timbul boleh menjejaskan hubungan baik rakan perniagaan. -Gambar hiasan AI

4. Pastikan matlamat perniagaan selari

Anda mungkin mahu membina perniagaan untuk mengejar minat dan kebebasan berkarya, sedangkan rakan lebih mengutamakan keuntungan.

Perbezaan matlamat seperti ini boleh menyukarkan proses membuat keputusan. Jadi, bincangkan hala tuju perniagaan sejak awal dan pastikan kedua-duanya mempunyai sasaran yang dipersetujui bersama.

5. Jangan biarkan emosi menguasai keputusan

Bekerja dengan rakan baik boleh menyukarkan anda untuk membezakan urusan peribadi dan profesional. Ada kalanya, anda mungkin terlalu bertolak ansur apabila rakan melakukan kesilapan kerana tidak mahu hubungan menjadi keruh.

Namun, keputusan perniagaan perlu dibuat secara rasional dan bukan semata-mata berdasarkan perasaan. Belajar menerima teguran dan menyelesaikan masalah secara profesional.

6. Nilai kemahiran dan pengalaman rakan

Jangan memilih seseorang sebagai rakan kongsi hanya kerana anda sudah lama mengenalinya. Sebaliknya, pastikan mereka mempunyai kemahiran, pengalaman dan pengetahuan yang sesuai dengan keperluan perniagaan.

Persahabatan sahaja tidak mencukupi untuk memastikan sesebuah perniagaan dapat diuruskan dengan baik.

 7. Bincangkan soal kewangan dengan teliti

Modal merupakan antara perkara penting dalam memulakan perniagaan. Jika salah seorang rakan menyumbangkan wang yang lebih banyak, ia mungkin menimbulkan isu tentang pembahagian keuntungan dan kuasa membuat keputusan.

Bincangkan jumlah modal, tanggungjawab kewangan, pembahagian keuntungan serta kaedah menanggung kerugian sejak awal supaya tiada pihak berasa terbeban atau mengambil kesempatan.

Artikel Lain

Najib kembali ke Penjara Kajang