suria

Lori bawa bateri terbakar di Lebuhraya ELITE... Orang awam rakam kejadian letupan

Kebakaran sebuah lori berhampiran plaza tol Bukit Jelutong.

TULAR video di laman media sosial memaparkan sebuah lori dijilat api sehingga berlaku letupan kecil dipercayai di Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), berdekatan Shah Alam, Selangor pada petang Selasa.

Selain itu menerusi video yang dikongsikan seorang pembaca mStar, kelihatan beberapa kenderaan yang melalui plaza tol Bukit Jelutong cuba mengelak daripada menghampiri lokasi.

"Allahuakbar, macam mana boleh terbakar sampai macam tu sekali," kedengaran suara seorang wanita yang sedang panik ketika melalui tempat kejadian.

Dipercayai lori tersebut membawa muatan bateri.

Dalam pada itu, Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.35 tengah hari.

Sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Jelutong dikejarkan ke lokasi.

Sebuah aset jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan jentera Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) turut terlibat dalam operasi pemadaman.

"Lori membawa muatan bateri itu terbakar 100 peratus.

"Namun tiada mangsa terlibat dan pemandu serta kelindan lori terbabit tiada di lokasi kejadian," kata Ahmad Mukhlis.

Tambahnya, api berjaya dipadamkan dan punca kejadian masih dalam siasatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain