suria

Nak tengok TokTi marah? Filem dokumentari ‘Siti: Are You Ready?’ papar sisi peribadi Siti Nurhaliza

Siti Nurhaliza dalam realiti sebenar dokumentari Siti: Are You Ready?

IMPIAN peminat untuk menyaksikan perjalanan di sebalik tabir Konsert Datuk Seri Siti Nurhaliza On Tour yang berlangsung di tiga buah negara pada tahun 2018 bakal tercapai apabila penyanyi ini muncul dengan filem dokumentari berjudul Siti: Are You Ready?

Istimewanya dokumentari arahan M Azhar Rot dan Anz Izwan ini akan memaparkan cabaran sepanjang menjayakan tiga konsert besar itu sambil diselitkan sisi peribadi Siti Nurhaliza yang tidak diketahui ramai.

Antara yang didedahkan dalam dokumentari itu adalah konflik dalaman yang dilalui oleh penyanyi ini bersama pasukannya ketika menganjurkan konsert di Jakarta, Indonesia.

ARTIKEL BERKAITAN: Pahang pula banjir, Siti Nurhaliza bimbang nasib orang kampung - “Walaupun saya di KL, hati saya ada di Lipis”

ARTIKEL BERKAITAN: Semakin langsing... Siti Nurhaliza sasar turunkan berat badan lagi 10 kg lepas lahirkan anak kedua

Turut dipaparkan suasana tegang yang dilalui mereka ketika berdepan beberapa cabaran dan momen itu ditunjukkan secara realiti untuk tontonan peminat.

"Kami semua inginkan persembahan yang terbaik dan mahu konsert ini berjalan dengan lancar... semua yang dipaparkan adalah kisah benar, antaranya ialah konflik dilalui kami ketika membuat persediaan konsert di Jakarta.

siti 4

Siti: Are You Ready? tunjuk sisi sebenar Siti Nurhaliza.

"Ramai orang tak tahu apa berlaku di sebalik tabir konsert ini... kami sedar untuk menjayakan konsert merupakan satu tanggungjawab yang sangat besar dan kami semua sudah berusaha kerja keras tapi masalah tetap jadi, nak buat macam manakan?

"Sebenarnya banyak lagi kisah yang tidak dapat dimasukkan kerana agak sensitif tapi bagi saya ia akhirnya menjadi suatu yang positif buat kami,” katanya.

Selalu orang tengok atas pentas nampak kagumnya... tapi mereka tak tahu di sebalik tabir apa berlaku.

SITI NURHALIZA

PENYANYI

Siti berkongsi mengenai perkara itu semasa sesi tayangan Siti: Are You Ready? yang diadakan di Dadi Cinemas, Pavilion, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Merakamkan perjalanan konsert bermula daripada persediaan hingga kemuncak, Siti mengakui setiap momen itu merupakan pengalaman cukup berharga sepanjang 25 tahun berkecimpung dalam industri seni.

siti 3

Siti dan penganjur Shirazdeen.

Siti bagaimanapun berkata produksi hanya memilih detik paling istimewa untuk dipaparkan dalam dokumentari berdurasi 80 minit ini untuk tatapan penonton.

Penghasilan dokumentari ini bertujuan untuk menunjukkan kepada masyarakat bahawa penyanyi bukan sahaja menghiburkan di atas pentas, sebaliknya mereka juga perlu mengerah keringat bagi memastikan segala impian tercapai.

"Daripada 72 jam rakaman, hanya 80 minit difilemkan... kami memilih apa yang menarik untuk diabadikan. Ia padat dengan pelbagai cerita yang cukup bermakna untuk diri saya dan peminat.

"Selalu orang tengok atas pentas nampak kagumnya tapi mereka tak tahu di sebalik tabir apa berlaku... bagaimana kami semua bekerja keras bagi menjayakan konsert ini kerana rasa cinta.

siti 2

Siti: Are You Ready? ditayangkan bermula 30 Disember ini.

"Saya juga nak sangat masyarakat di luar sana melihat filem dokumentari saya sebagai satu yang boleh memberikan inspirasi bukan saja pada anak-anak seni generasi muda tapi kepada semua termasuklah wanita yang bergelar ibu," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Siti memaklumkan kutipan awal filem dokumentari ini akan disalurkan kepada mereka yang terjejas dengan banjir.

Filem dokumentari terbitan Shiraz Projects dan Siti Nurhaliza Productions boleh ditonton di saluran Astro First bermula 30 Disember ini.

Bagi mereka yang berada di luar Malaysia dan Brunei, boleh melanggan di platform Vimeo on Demand.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

TONTON VIDEO MUZIK APA APA ROJER!

Artikel Lain