suria

Undi18 bakal direalisasikan, kerajaan tak rayu keputusan mahkamah

KERAJAAN tidak akan membuat rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi 18 perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini. — The Star

KERAJAAN tidak akan membuat rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching yang memutuskan Undi 18 perlu dilaksanakan menjelang 31 Disember tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang Undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perkara itu diputuskan menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September lalu.

Justeru menurutnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengambil langkah-langkah memastikan pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran pengundi secara automatik dapat dibuat mengikut tarikh yang ditetapkan mahkamah.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarah tercipta, Parlimen lulus RUU undi 18 tahun

“Walaupun dengan kekangan dan kekurangan, SPR komited memastikan umur kelayakan pengundi 18 tahun, pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan berdasarkan keputusan mahkamah.

"Saya dapati dari sudut perundangan, tiada perbezaan pendirian pihak peguam negara dengan pihak mahkamah, kerana ia hanya memendekkan masa sebab dalam program awal SPR adalah pelaksanaannya sehingga September 2022, tetapi hakim tetapkan mesti disiapkan pada 31 Disember 2021.

"Saya telah berbincang dengan SPR agar patuh kepada arahan mahkamah. Saya maklumkan juga bahawa Jemaah Menteri pada 10 September, kita telah memutuskan yang kita tidak membuat rayuan kepada keputusan hakim," katanya di Dewan Rakyat pada Selasa.

wan junaidi

Wan Junaidi Tuanku Jaafar

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Gobind Singh Deo (DAP - Puchong) yang bertanya sama ada kerajaan akur dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kuching dan langkah-langkah untuk memastikan ia berlaku.

Pada 3 September lalu, Mahkamah Tinggi Kuching memerintahkan SPR dan kerajaan melaksanakan Undi 18 menjelang 31 Disember tahun ini.

Pesuruhjaya Kehakiman, Alexander Siew How Wai membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman lima anak muda yang menggesa kerajaan melaksanakan segera pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan penurunan umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun. — Sinar Harian

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain