suria

Pembuli tersalah pilih mangsa, rupa-rupanya juara jiu-jitsu dunia!

ALEX Williams menggunakan kemahirannya dalam jiu-jitsu bagi mempertahankan diri selepas diugut pembuli terbabit. — Agensi.

TINDAKAN seorang lelaki menggigit telinga dan mengugut mahu menikam remaja berusia 16 tahun nyata kesilapan terbesar yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya.

Tanpa sedar, remaja yang disangkakan ‘budak mentah’ itu sebenarnya juara dunia seni mempertahankan diri jiu-jitsu, Alex Williams.

Dalam kejadian yang dikatakan berlaku di Guisborough, North Yorkshire, United Kingdom itu, Williams sememangnya memberikan pengajaran berguna kepada ‘pembuli’ dewasa berkenaan.

RAKAMAN video terbabit yang tular di media sosial. — Agensi

Rakaman kejadian itu dimuatnaik di media sosial oleh jurulatihnya, Alex Enlund dan sudah pun disaksikan lebih sejuta kali.

Menerusi rakaman video, lelaki dewasa itu seakan langsung tidak tahu-menahu yang Williams sebenarnya adalah pakar jiu-jitsu.

Williams pantas mengambil peluang menghayun dan menjatuhkan lelaki berkenaan bagi mempertahankan dirinya.

“Apabila dia makin hampir, saya lihat peluang untuk mempertahankan diri dan cuba melawan. Saya bimbang kerana dia mengugut untuk menikam saya.

“Tindakan itu datang secara semula jadi kerana saya sudah pun beribu kali melakukannya ketika latihan.

“Tujuan saya hanyalah untuk memastikan keadaan lebih selamat,” kata Williams. – Daily Star

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain