suria

Bumbung teksi dijadikan kebun mini

KEBUN sayur mini ini merupakan inisiatif koperasi teksi di Thailand sebagai sumber rezeki kakitangan yang hilang sumber pendapatan akibat Covid-19. — Agensi

PANDEMIK Covid-19 menjejaskan sektor ekonomi di seluruh dunia termasuk industri pengangkutan awam di Thailand.

Hal ini menyebabkan sebahagian koperasi teksi di negara itu terpaksa membiarkan sebahagian kenderaan mereka terbengkalai kerana kurangnya permintaan daripada pelanggan.

Mengambil inisiatif untuk meringankan kesan pandemik Covid-19, koperasi Ratchapruk dan Bovorn Taxi memanfaatkan bumbung teksi terbengkalai di tempat letak kereta sebagai kebun mini.

Berdasarkan laporan media, kedua-dua koperasi berkenaan menggunakan bumbung teksi mereka sebagai petak mini dengan menanam pelbagai sayuran seperti termasuk tomato, timun dan kacang panjang.

Di atas bumbung teksi itu, kakitangan koperasi berkenaan menggunakan beg sampah plastik hitam yang di hamparkan di atas bingkai buluh sebelum meletakkan tanah di atasnya.

Menurut seroang eksekutif, Thapakorn Assawalertkul, 54, kedua-dua koperasi itu kini mempunyai 500 kereta yang tersadai di tepi jalan Bangkok, dengan 2,500 buah teksi dilaporkan tidak bergerak di beberapa lokasi sekitar bandar.

"Jalan-jalan di ibu kota yang sunyi sejak akhir-akhir ini, terdapat terlalu banyak persaingan untuk tambang rendah yang mengakibatkan penurunan pendapatan pemandu.

"Ramai yang tidak dapat membayar bayaran harian untuk kenderaan walaupun caj dikurangkan menjadi 300 baht (RM 37.70)," katanya.

Tambahnya lagi, susulan keadaan itu, ramai pemandu yang menyerahkan kembali teksi mereka kepada koperasi dan pulang ke kampung halaman terutama semasa gelombang kedua pandemik.

Jelasnya lagi, ada juga pemandu yang meninggalkan teksi mereka di tempat seperti stesen minyak dan menghubungi pihak koperasi supaya mengambilnya.

Jangkitan baharu Covid-19 di Thailand berada pada paras sekitar 15,000 kes dalam beberapa hari terakhir selepas mencapai jumlah tertinggi melebihi 23,400 kes pada pertengahan Ogos.

Kerajaan Thailand berharap negara itu akan reda daripada gelombang tersebut yang menyumbang kepada 97 peratus dari jumlah kes dan lebih dari 99 peratus kes kematian di negara itu.

Secara keseluruhan, Thailand telah mengesahkan 1.4 juta kes dengan lebih 14,000 kematian.

Jelas Thapakorn lagi, keadaan itu juga menjadikan Koperasi Ratchapruk dan Bovorn berhutang sekitar 2 bilion baht (RM 254.9 juta) mala, kerajaan setakat ini tidak menawarkan sebarang bantuan kewangan.

"Kebun bumbung teksi tidak menawarkan aliran pendapatan alternatif. Kakitangan koperasi, yang diminta mengambil potongan gaji kini bergilir-gilir menjaga kebun yang baru dibuat.

"Kebun sayur adalah tindakan protes dan cara memberi makan kepada kakitangan saya pada masa sukar ini," ujarnya.— Agensi

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Sebelum

Artikel Lain