suria

Penumpang buat hal, Hawaiian Airlines terpaksa alih penerbangan

HAWAIIAN Airlines terpaksa mengalihkan penerbangannya pada Khamis lalu, berikutan dua penumpangnya tidak terkawal. — Getty Images

HAWAIIAN Airlines terpaksa mengalihkan dua penerbangannya dalam masa kurang 12 jam, berikutan terdapat dua penumpangnya yang sukar dikawal.

Dalam kejadian pertama jam 7.30 pagi (waktu dunia) Khamis lalu, penerbangan pesawat Hawaiian Air Flight 152 yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Daniel K. Inouye menuju ke Hilo terpaksa dialihkan ke Honolulu.

Menurut The Honolulu Star-Advertiser, perjalanan itu dialihkan setelah penumpang berusia 32 tahun didakwa menumbuk seorang pramugari sebanyak dua kali.

“Seorang penumpang menyerang salah seorang pramugari kami yang sedang berjalan di lorong dalam kejadian yang tidak diprovokasi,” kata jurucakap syarikat Alex Da Silva.

Da Silva juga menafikan serangan penumpang terhadap pramugari itu disebabkan ketidakpatuhan memakai pelitup muka.

“Pramugari itu kemudian dibenarkan pulang untuk berehat selepas kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Persatuan Penumpang Penerbangan, Taylor Garland menyifatkan, kejadian itu tidak dapat diterima dan pihaknya turut memberi sokongan kepada pramugari yang terbabit.

Tidak sampai beberapa jam selepas kejadian itu, penerbangan Hawaiian Airlines yang lain terpaksa mengalihkan penerbangan, apabila seorang penumpang wanita enggan mematuhi arahan pemakaian pelitup muka.

Pesawat Hawaiian Air Flight 22, yang berlepas dari lapangan terbang sama jam 1.05 petang (waktu dunia) Khamis, sepatutnya menuju ke Seattle sebelum dialihkan.

“Kira-kira dua jam selepas pesawat berlepas, kapten kami diberitahu mengenai seorang penumpang yang enggan memakai pelitup muka dan menyebabkan gangguan kepada penumpang lain.

“Pramugari kami bersama juruterbang yang tidak bertugas dapat mengawal keadaan.

“Kerana berhati-hati, kapten memilih untuk kembali (ke Honolulu), yang mana pihak berkuasa tempatan akan bertemu dengan pesawat itu ketika tiba pada jam 5.53 petang,“ kata jurucakap Hawaiian Airlines, Tara Shimooka.

Jurucakap Jabatan Perhubungan syarikat itu, Jai Cunningham, mengesahkan wanita terbabit tidak mengakibatkan kecederaan.

“Kami tidak mempunyai toleransi terhadap tingkah laku yang menggangu dan berbahaya di pesawat kami,” katanya.

Terdahulu Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) mendedahkan, terdapat 4,385 laporan penumpang tidak terkawal sejak awal tahun ini. — People

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

penumpang, tumbuk, pesawat

Artikel Lain