suria

Pemuda ada diploma bakar diri, kecewa permohonan pinjaman bank ditolak

Seorang pemuda bertindak membakar diri sehingga menggemparkan orang ramai. -Gambar X

ORANG ramai digemparkan dengan tindakan seorang pemuda yang cuba membakar dirinya di luar sebuah bank, yang didakwa menolak permohonan pinjamannya.

Dalam kejadian yang berlaku di Gonda di Uttar Pradesh, India, mangsa berusia 25 tahun menyimbah dirinya dengan petrol dan membakar dirinya di luar sebuah bank di daerah Gonda pada Rabu.

Polis berkata, keluarga mangsa mendakwa pemuda itu bertindak keterlaluan gara-gara pinjamannya tidak diluluskan.

Rakaman berhubung insiden tular di media sosial.

Bagaimanapun, bank berkenaan menafikan dakwaan keluarga itu dan berkata bahawa tiada permohonan pinjaman daripada mangsa tidak diluluskan.

Menurut laporan, pemegang diploma itu mahu menubuhkan loji penulen air RO dan telah memohon pinjaman perniagaan di bank tersebut.

Sejurus bank dilaporkan menolak permohonannya, pemuda itu cuba membakar diri sebagai tanda protes.

Menurut polis, mangsa menggunakan petrol daripada motosikalnya.

Pemuda itu mengalami 70 peratus melecur dan dikejarkan ke hospital untuk rawatan perubatan dengan keadaannya dilaporkan kritikal.

Berikutan insiden itu, satu siasatan sedang dijalankan oleh majistret Daerah Neha Sharma dan melantik Majistret Bandar Chandrashekhar sebagai pegawai penyiasat. - India.com

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain