KAHERAH: Tiada masalah, perjalanan lancar, penginapan selesa, lawatan ke tempat pelancongan juga mudah, kata Presiden Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) Datuk Khalid Harun yang ditemui di sini Jumaat, semasa merujuk kepada lawatan beliau bersama sekumpulan pengusaha syarikat pelancongan Malaysia ke Mesir.Delegasi Matta itu dibawa melawat Mesir bagi melihat sendiri kesan revolusi rakyat awal tahun ini yang menumbangkan pemerintahan Hosni Mubarak, terutama dari aspek pelancongan. Ini kerana revolusi pada Januari lepas itu menjejaskan keyakinan pelancong termasuk dari Malaysia untuk mengunjungi negara yang kaya dengan khazanah silam yang berusia ratusan ribu tahun itu.Khalid mengakui bahawa selepas revolusi itu tempahan pelancong Malaysia ke Mesir menurun, dan menurutnya ia dapat dilihat dengan ketara pada Matta Fair di Kuala Lumpur Mac lepas apabila bilangan pelancong Malaysia yang membuat tempahan ke Mesir amat kurang."Ini sudah dijangka berikutan pergolakan yang berlaku dan rakyat Malaysia ketika itu memang bimbang dengan ketidaktentuan di Mesir. Oleh itu menerusi lawatan ini, Matta berharap dapat memberi gambaran sebenar mengenai keadaan di Mesir kepada rakyat Malaysia yang mahu melawat negara ini," katanya.Lawatan MATTA ke Mesir dibuat atas jemputan pengusaha pelancongan Mesir.Duta Besar Mesir ke Malaysia Mohamed Saad Ebeid baru-baru ini memberitahu Bernama bahawa keadaan di Mesir sudah kembali seperti biasa dan industri pelancongan yang terjejas teruk akibat revolusi itu kini sudah bersiap sedia untuk pulih.Katanya kini dalam tempoh pasca revolusi, dengan kuasa pentabdiran dipegang oleh Majlis Tentera Mesir, ia mewujudkan imej baru buat negara itu bagi para pelancong, dan pelancong sendiri 'ingin tahu' mengenai kehidupan di negara itu.Katanya sektor pelancongan mengalami kerugian jangka pendek ketika revolusi memuncak apabila orang ramai mula menjauhi negara itu kerana bimbangkan aspek keselamatan.Pengurus Besar Swiss Inn Pyramids Golf Resort di Kaherah Louisa Morena pula ketika ditemui di sini berkata pihaknya mengalami kerugian ketara akibat revolusi itu, namun beliau yakin industri pelancongan negara akan pulih dengan pantas."Dari Februari sehingga pertengahan Mac, tidak ada pelancong yang mengunjungi hotel kami. Apa juga tempahan yang kami terima pada Januari, dari Denmark, Perancis, Norway dan negara-negara Eropah utara, semua dibatalkan semasa revolusi," katanya."Kami terpaksa mengubah strategi, dengan memberi tumpuan kepada pelancong tempatan. Kami mula tawarkan kadar yang rendah untuk penginapan hujung minggu," tambahnya.Morena berkata tempahan mulai kembali sejak kebelakangan ini bagi hotel-hotel lima bintang, dan menurutnya ia disebabkan keadaan semasa di Mesir yang semakin bertambah selamat, meyakinkan kehadiran pelancong.Katanya beliau menjangka jumlah tempahan akan meningkat selepas pemilihan Presiden September ini.Pengerusi Star Gold Travel Mohamed El Banna pula berkata beliau melihat industri pelancongan Mesir semakin bertambah baik, dan pelancong sudah mulai kembali membanjiri negara itu."Pelancong asing kini sudah sedar bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan semasa melancong ke Mesir. Apabila revolusi meletus, syarikat kami mengalami kerugian apabila 35 tempahan berkumpulan yang membabitkan 1,800 pelancong dari China, India, Malaysia Singapura membatalkan tempahan," katanya. Sementara itu seorang pengurus pemasaran farmasuetikal dari Itali yang enggan mendedahkan namanya berkata beliau merasa selamat dan selesa melancong di Mesir."Keadaan semakin kembali seperti biasa, saya sering datang ke sini untuk menguruskan perniagaan, dan saya rasa tiada apa yang perlu dirisaukan selepas revolusi," katanya.Sylvie Nobecourt, 40, dari Lyon, Perancis ketika ditemui di sini juga berkata beliau amat teruja untuk berada di Mesir kerana ia memang menjadi impiannya sejak kecil lagi."Keluarga saya sentiasa berharap kami dapat melawat Mesir satu hari nanti. Revolusi tidak menjejaskan rancangan kami untuk melawat negara ini. Mulanya kami merancang untuk datang pada bulan Januari, tapi kami menangguhkannya apabila revolusi meletus," katanya. - BERNAMA