suria

Taliban Bom Konvoi AS Di Pakistan

PESHAWAR: Seorang terbunuh manakala 11 yang lain cedera apabila satu serangan bom dilakukan ke atas sebuah konvoi konsulat Amerika Syarikat (AS) oleh kumpulan Taliban pada Jumaat.

Serangan bom tersebut merupakan serangan pertama yang dilakukan puak Taliban terhadap kepentingan AS semenjak pembunuhan Osama bin Laden.

Seorang jurucakap kedutaan AS berkata, tiada pegawai AS yang cedera parah dalam serangan itu.

Menurut pihak polis, dua warga asing cedera ringan dan salah satu daripada dua kereta perisai rosak teruk akibat letupan dari kereta yang diisi penuh dengan 50 kilogram bahan letupan berkualiti rendah yang diletupkan melalui alat kawalan jauh.

"Dua kenderaan konsulat AS diserang apabila sedang dalam perjalanan," beritahu Alberto Rodriguez, jurucakap kedutaan AS kepada para pemberita.

Pegawai polis, Liaquat Ali pula memberitahu, mangsa yang terbunuh adalah seorang orang awam yang sedang membonceng motosikal dan dua daripada 11 orang yang cedera ringan adalah warga asing.

Pihak Taliban Pakistan mengaku bertanggungjawab melakukan serangan dalam satu panggilan telefon yang dibuat mereka dan menyatakan lebih banyak serangan bakal dilakukan terhadap kepentingan barat di Pakistan. -AFP

Artikel Berikut

Artikel Lain