suria

Eropah & Negara Membangun Kini Rebut Jawatan Tertinggi IMF

WASHINGTON: Lembaga Pengarah Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) kini sedang mencari calon untuk jawatan pengarah urusan badan itu setelah Dominique Strauss-Kahn yang kini berhadapan dengan dakwaan percubaan memperkosa meletak jawatan, pada Khamis.

Strauss-Kahn meletak jawatan lima hari selepas beliau ditahan di atas dakwaan melakukan serangan seksual.

Negara-negara Eropah sudah mula mencalonkan pelbagai individu untuk mengisi kekosongan jawatan tertinggi dalam IMF itu.

Satu persatu individu berpengaruh dari Eropah dicalonkan dan salah seorang yang menjadi perhatian adalah Menteri Kewangan Perancis, Christine Lagarde, yang mempunyai pengetahuan yang luas seperti Strauss-Kahn dalam isu kelemahan fiskal Eropah.

Negara-negara yang semakin mempunyai kuasa bersuara seperti Brazil, China dan India pula bertegas meminta satu proses pemilihan yang telus diadakan. Badan itu telah mengeluarkan satu kenyataan pada Khamis memaklumkan pencarian tersebut telah bermula.

"Ketua Lembaga Eksekutif IMF, Abdel Shakour Shaalan sedang menghubungi rakan sekerjanya pada hari ini untuk proses pemilihan jawatan Pengarah Urusan," kata juruckap IMF, William Murray.

Pihak IMF menjelaskan bahawa badan tersebut akan memilih calon yang berwibawa daripada 187 negara ahli dan satu keputusan sebulat suara akan dibuat walaupun lembaga tersebut mempunyai kuasa mutlak memilih calon.

Beberapa negara dan pemimpin menggesa satu perubahan diambil kerana individu dari Eropah terutamanya Perancis sahaja yang telah dipilih menjawat jawatan tersebut dalam beberapa dekad ini.

"Kata sepakat merupakan satu perkataan yang rapuh dan tidak semestinya tulus malah mungkin tiada siapa yang tahu bagaimana ia dibuat dan siapakah yang dapat mencapai kata sepakat," kata Eksekutif IMF dari India, Arvind Virmani.

"Ramai orang merasakan proses pemilihan selama ini tidak telus dan sesetengah individu dari sesetengah negara telah dinamakan terlebih dahulu," tambah beliau secara peribadi.

Beliau juga menegaskan bahawa tanpa proses pemilihan mencapai kata sepakat yang tulus, individu yang berwibawa dari negara membangun mungkin tidak berminat untuk ke hadapan.

"Zaman di mana hanya calon dari Eropah sahaja dipilih telah berlalu," kata Menteri Kewangan Brazil, Guido Mantega.

"Pembentukan pihak pengurusan atasan haruslah mencerminkan perubahan struktur ekonomi dunia dan juga mewakili pasaran baru dunia," kata Ketua Bank Pusat China, Zhou Xiachuan.

Sementara negara-negara membangun belum lagi bersepakat mencalonkan seorang individu, individu-individu pilihan seperti bekas pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dari Turki, Kemal Dervis, perancang dari India, Montek Singh Ahluwlia dan pegawai Bank Pusat Mexico, Agustin Carstens telah digembar-gemburkan sebagai calon.

"Kesatuan Eropah (EU) yang yang mempunyai ahli yang menjadi penyumbang utama dalam badan tersebut mempunyai kedudukan untuk memilih seorang calon yang sangat berkelayakan," kata Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy.

Amerika Syarikat yang mempunyai kuasa mengundi terbanyak secara perseorangan pula tidak mahu meyebelahi mana-mana pihak secara umum.-AFP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain