suria

Eropah Dilanda Wabak Dari Pencemaran Sayur

PRAGUE (Czech Republic): Sayur-sayuran dari Sepanyol yang disyaki telah dicemari bakteria E. coli yang boleh menyebabkan kematian ditarik semula dari penjualannya di Republik Czech dan Austria untuk mengelakkan penularan jangkitan, demikian menurut sumber rasmi.

Jumlah kematian yang disebabkan pencemaran itu pada masa ini meningkat kepada sekurang-kurangnya 10 orang manakala beratus-ratus orang di seluruh Eropah telah dilaporkan jatuh sakit.

Pihak Berkuasa Republik Czech pada Ahad mengatakan sebanyak 120 biji timun organik dari Sepanyol ditarik semula daripada kedai-kedai di sini dan Austria mengumumkan sejumlah kecil sayuran timun, tomato dan terung ditarik semula dari 33 buah kedai.

Agensi Kesihatan dan Keselamatan Makanan Austria mengatakan badan itu diberitahu oleh Kesatuan Eropah bahawa dua syarikat Jerman telah mengeluarkan arahan penarikan semula dan pengharaman penjualan tiga jenis sayur tersebut yang telah mereka bawa masuk ke Austria.

Agensi itu juga mengatakan beberapa sayur itu berkemungkinan telah dijual dan menggesa pengguna tidak memakan sayur tersebut.

Lembaga Pertanian dan Siasatan Makanan Republik Czech mengatakan timun yang tercemar melalui penghantaran tersebut juga sampai di Hungary dan Luxembourg namun tiada kes jangkitan dilaporkan di sana.

Timun tersebut dibawa melalui Jerman dan pihak kesihatan rasmi pada Ahad mengatakan seorang lagi di negara itu maut disebabkan jangkitan bakteria lantas menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 10 orang setakat ini.

Jumlah sebenar jangkitan bakteria itu di Jerman tidak dapat dipastikan namun akhbar tempatan menganggarkan lebih kurang 1,000 orang di seluruh negara mengalami jangkitan usus sehingga Ahad.

Bilangan mereka yang dijangkiti bakteria itu juga telah meningkat sepanjang hujung minggu dengan sekurang kurangnya 467 kes jangkitan usus berlaku di Hamburg sahaja termasuk 91 kes sindrom uremim hemolitik yang lebih parah, beritahu seorang Pegawai Kesihatan Cornelia Prufer-Storks kepada agensi berita Jerman, DADP pada Ahad.

Sindrom uremim hemolitik merupakan komplikasi yang jarang berlaku yang dikaitkan dengan jangkitan bakteria E. coli.

Seorang jurucakap Kesatuan Eropah, Federic Vincent pada Ahad memberitahu dua rumah hijau yang dikenal pasti sebagai kawasan punca pencemaran timun telah menghentikan sebarang aktiviti.

Menurut Vincent, air dan tanah dari kawasan itu sedang dianalisis untuk melihat sama ada menjadi punca wabak ataupun jangkitan itu bermula dari kawasan yang berlainan.

Keputusan ujian dijangka akan dikeluarkan pada Selasa atau Rabu, tambahnya.

Menteri Kesihatan Sepanyol, Leire Pajin pada Jumaat mengatakan kerajaan tempatan wilayah Andalucia dengan kerjasama kerajaan pusat, kerajaan Jerman dan Kesatuan Eropah telah mengambil langkah-langkah untuk meyakinkan pengguna bahawa buah-buahan dan sayur-sayuran segar boleh dimakan.

"Kami perlu menjelaskan di sini bahawa tiada seorang pun di Sepanyol pada masa ini yang dijangkiti bakteria tersebut." jelas Paijin. -AP

Artikel Sebelum

Artikel Lain