suria

Singapura Dan Amerika Terus Kukuhkan Kerjasama Pertahanan Dua Hala

SINGAPURA: Setiausaha Pertahanan Amerika Robert Gates dan Menteri Pertahanan Singapura Dr Ng Eng Hen hari ini sepakat memperakui komitmen untuk mengukuhkan kerjasama pertahanan dua hala bagi kedua-dua negara.

Ia selaras dengan semangat dan wawasan Perjanjian Kerangka kerja Strategik (SFA).

Gates dan Ng, yang mengadakan mesyuarat dua hala di luar Dialog Shangri-la ke-10 di sini turut memperakui kecemerlangan dan hubungan pertahanan dua hala yang wujud sejak sekian lama antara Amerika dan Singapura.

Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pemimpin itu menyambut baik kemajuan memuaskan yang dibuat dalam usa amengukuhkan kerjasama pertahanan sejak SFA ditandatangani pada 2005.

Kedua-dua pihak bersetuju bekerja kearah kerjasama lebih berkesan di peringkat operasi, termasuk menerusi peningkatan latihan, memperbaiki keupayaan perintah dan kawalan, serta peluang-peluang gerakan bersama.

SFA mengetengahkan kepercayaan yang dikongsi bersama dua negara bahawa kehadiran ketara Amerika di rantau ini telah meningkatkan keamanan dan kestabilan serantau.

Dalam perkara ini mereka menyokong pembabitan berterusan Amerika di rantau ini, dan keperluan bagi kedua-dua pihak untuk terus bekerjasama bagi menangani ancaman keselamatan merentasi sempadan negara dan meningkatkan keselamatan serantau.

Kedua-dua pemimpin dengan sukacita memperakui sumbangan berguna yang dibuat oleh Singapura terhadap usaha penstabilan dan pembinaan semula Afghanistan, dan usaha membanteras lanun antarabangsa di Teluk Aden. - BERNAMA

Artikel Lain