suria

Gempa Bumi Bali, 50 Dikhuatiri Cedera

BALI: Gempa bumi kuat yang melanda sebuah kawasan percutian popular Indonesia, di sini, Khamis, telah menimbulkan panik dan mencederakan sekurang-kurangnya 50 orang awam termasuklah patah tulang dan luka di kepala.

Saksi-saksi di tempat kejadian memberitahu stesen radio dan televisyen tempatan bahawa mereka melihat beberapa buah rumah dan bumbung rumah roboh, selain beberapa buah kuil di sepanjang persisiran pantai pecah berderai akibat gegaran tersebut.

Kajian Geologi Amerika Syarikat berkata gegaran berskala 6.0 magnitud itu bertumpu pada kira-kira 60 batu (100km) di bahagian barat daya pulau itu sehingga (36 batu) 60km di paras dasar laut.

Walaupun ia tidak cukup kuat untuk mencetuskan tsunami, gegaran itu boleh dirasai oleh pulau-pulau berdekatan iaitu Jawa dan Lombok.

"Saya terjatuh daripada motosikal akibat gegaran itu," kata seorang penduduk tempatan, Miftahul Chusna.

Pegawai perhubungan awam Hotel Sanur Beach, Candy Juliani berkata semua benda di dalam bangunan itu bergegar.

"Penginap-penginap hotel melarikan diri dalam keadaan panik.

"Kami sebenarnya mempunyai laluan kecemasan khas apabila berdepan dengan situasi begini tetapi semua orang menjadi cemas dan mengabaikan laluan tersebut," katanya.

Jurucakap hospital, Wayan Sudanti berkata sekurang-kurangnya 50 orang tercedera, mengalami luka di kepala dan patah tulang.

Wakil agensi bencana tempatan, I Gede Tejo berkata pesakit-pesakit itu termasuklah 12 pelajar dan tiga guru yang cedera apabila siling bangunan sekolah tinggi mereka roboh.

Bentuk muka bumi Indonesia yang direntangi garis-garis gelinciran yang tidak sekata menjadikan negara itu mudah dilanda kejadian gunung berapi dan aktiviti gelombang seismos.

Gempa bumi terkuat melanda negara itu pada 26 Disember 2004 di Aceh telah mencetuskan tsunami di Lautan Hindi yang meragut 230,000 nyawa. - AP

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain