JAKARTA: Seorang Anggota Dewan Perwakilan Daerah Surabaya mencadangkan satu undang-undang kecil diperkenalkan bagi mengawal selia nama anak baru dilahirkan agar ibu bapa memberikan nama yang mempunyai ciri-ciri tempatan kepada bayi mereka.Dalam cadangannya, Ketua Suruhanjaya D dewan itu yang bertanggungjawab mengenai kebajikan rakyat, Baktiono berkata undang-undang kecil itu akan menyediakan senarai nama yang diizinkan pihak pemerintah. Senarai itu akan menjadi garis panduan kepada rakyat daerah itu supaya tidak melupakan identiti sebagai penduduk kota Surabaya namun ibu bapa tidak dipaksa menggunakan nama daripada senarai berkenaan, demikian menurut laporan sebuah akhbar harian bahasa Inggeris The Jakarta Post yang memetik Baktiono, Khamis."Nama berkenaan juga tidak mewakili mana-mana suku kaum atau kelas sosial. Kami bimbang ramai ibu bapa di Surabaya berasa begitu gembira memberikan nama asing kepada sama ada dari Eropah, Jepun atau negara-negara Timur Tengah. Lihat sahaja nama seperti Roberto, Michael, Abu, dan banyak yang lain," katanya.Baktiono berkata ibu bapa yang memilih nama asing bagi anak mereka tidak menyedari ada nama pahlawan tempatan Surabaya yang namanya layak digunakan. Antara nama yang dicadangkan anggota dewan itu ialah seperti Sawunggaling, tokoh antipenjajah, legenda Joko Jumput serta Rondo Praban, seorang tokoh masyarakat tempatan dalam perusahaan jamu tradisional.Seorang ahli sosiologis daripada Airlangga University, Bagong Suyanto tidak bersetuju dengan cadangan Baktiono dan menyatakan cadangan undang-undang kecil itu merupakan satu pencabulan negara ke dalam hak peribadi seseorang.Beliau berpendapat pemuliharaan warisan budaya Surabaya boleh dilakukan dengan lebih baik menerusi penamaan bangunan-bangunan mercu tanda kota itu.Seorang penduduk, Indah Sulistyawati, 34, berkata dia memberikan nama asing kepada anaknya bagi memenuhi hasratnya untuk menjadi sebahagian masyarakat dunia dan berpendapat nama asing itu tidak menjadikan anaknya hilang semangat atau jati diri Surabaya.Robianto, seorang penduduk tempatan, berkata nama asing kelihatan moden dan akan memberikan semangat keyakinan diri kepada anaknya."Bagaimana keadaannya di sekolah dan jika dipanggil nama seperti Jumanto atau Paiyem, nama yang ketinggalan zaman?" soalnya. -BERNAMA