JAKARTA: Di tengah-tengah kebimbangan masyarakat tentang kemungkinan berlaku banjir besar di Jakarta pada tahun hadapan, seorang pegawai di Jabatan Kerja Raya, kerajaan tempatan Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta percaya kejadian itu akan hanya berlaku 200 tahun lagi.Ketua bidang pengurusan sumber daya air jabatan itu, Tarjuki membantah pandangan bahawa banjir besar pada tahun 2007 itu akan berulang pada tahun hadapan berdasarkan kiraan putaran lima tahun sekali. Banjir besar pada 2007 adalah disebabkan hujan setempat di Jakarta, di Depok dan di Bogor serta pengaruh pasang air laut pantai utara Jakarta, kata beliau kepada media tempatan di sini Khamis.Apa yang berlaku pada 2007 ialah curahan hujan antara 200 hingga 300 milimeter sejam, tiga hari tiga malam, selama 76 jam tanpa henti, katanya.Tarjuki bagaimanapun tidak dapat menjamin kejadian banjir 2007 itu tidak berulang di Jakarta dalam waktu terdekat kerana ia amat dipengaruhi oleh intensiti hujan pada Januari dan Februari tahun hadapan. Mengenai banjir di Pondok Labu, Jakarta Selatan, yang masih berlaku hingga sekarang, beliau berkata ia disebabkan berlaku hujan setempat dengan intensiti 108 milimeter sejam, iaitu ukuran yang biasanya untuk jumlah satu bulan.Tarjuki berkata pihaknya akan menambah pemasangan alat sistem amaran awal di banyak lagi kawasan di Jakarta, agar penduduk lebih mengetahui mengenai status keadaan banjir dan lebih bersedia menghadapi kemungkinan-kemungkinan.Alat tambahan itu akan dipasang di enam sungai, salah satunya ialah di Sungai Krukut.Sementara itu seorang pegawai di sebuah agensi pusat mengingatkan masyarakat khususnya di Jakarta supaya berwaspada terhadap cuaca ekstrim yang akan berlaku dalam masa dua minggu akan datang.Ketua Unit Teknikal Hujan Buatan, Badan Penelitian dan Penerapan Teknologi (BPPT) Samsul Bahri berkata hujan dari petang hingga malam dijangka berlaku setiap hari.Biasanya kemuncak musim hujan ialah pada Januari atau Februari, bukan November, namun hujan pada masa ini telah mengakibatkan banjir di beberapa kawasan di Jakarta, kata beliau. -BERNAMA