suria

Warga Sepanyol Bingung Hidup Menganggur

Beberapa penduduk Paterna de Rivera yang menganggur mengisi masa di hadapan sebuah bar dekat bandar tersebut. Foto AFP
Beberapa penduduk Paterna de Rivera yang menganggur mengisi masa di hadapan sebuah bar dekat bandar tersebut. Foto AFP
Beberapa penduduk Paterna de Rivera yang menganggur mengisi masa di hadapan sebuah bar dekat bandar tersebut. Foto AFP

PATERNA DE RIVERA (Sepanyol): Tiga pemuda tempatan Juan, Miguel dan Ruben meletakkan kereta mereka di belakang gimnasium.

Setiap seorang membuka komputer riba masing-masing dan duduk di dalam kereta sambil melayari internet.

Mereka mempunyai masa terluang pada tengahari Isnin kerana tidak mempunyai sebarang pekerjaan.

"Saya pernah bekerja di kilang roti namun sekarang tidak lagi," kata Miguel Almagro, 20.

"Tiada pekerjaan yang boleh kami dapatkan begitu juga mereka yang lain i pekan ini. Tiada apa yang boleh dibuat dan tiada wang untuk apa-apa pun."

Seperti rakan-rakannya, Juan Colon, 20, dan Ruben Granados, 18, Miguel membesar semasa zaman kegemilangan ekonomi Sepanyol dengan kemajuan sektor pembangunan.

Namun zaman itu tidak berpanjangan untuk dinikmati Miguel dan rakan-rakanya. Selepas menghabiskan persekolahannya pada tahun 2008, dia dan 5,700 penduduk di sini menerima tempias kemerosotan ekonomi yang hebat.

"Keadaan semakin sukar sekarang. Kami tidak tahu bagaimana mahu mengakhiri hujung tahun ini," kata pengurus sebuah syarikat bekalan bahan pembinaan, Remedios Torres.

"Hanya terdapat sedikit projek pembangunan dan tidak banyak bahan binaan dapat dijual. Dalam beberapa bulan lepas pula saya terpaksa membuang beberapa pekerja yang telah berkhidmat bersama selama lebih daripada 20 tahun," kata wanita itu lagi.

"Saya boleh nampak masa hadapan yang gelap jika keadaan berterusan begini."

Terletak di Andalusia, ekonomi Paterna de Rivera berkembang pesat setelah penduduknya menceburi bidang pembinaan di seluruh kawasan yang pernah menjadi ladang pertanian itu.

"Ketika itu, jumlah pengangguran menurun dan sektor pembinaan menguntungkan penduduk," kata Datuk Bandar, Alfonso Caravaca Morales.

"Apabila ekonomi merudum dan sektor pembinaan berhenti, kadar pengangguran di bandar ini meningkat secara mendadak."

Satu kajian rasmi baru menunjukkan kadar pengangguran di Paterna adalah sebanyak 28 peratus, lebih tinggi daripada kadar pengangguran Sepanyol iaitu 21.5 peratus sekaligus menjadikan bandar itu berada di tempat ketiga dalam jumlah pengangguran paling tinggi di negara tersebut.

Bagaimanapun Caravaca berkata apabila jumlah pekerja sektor pertanian yang tidak berdaftar diambil kira, kadar pengangguran adalah hampir kepada 35 peratus.

Bapa kepada seorang anak lelaki, Manuel Contreras, 32, hanya bermain bola sepak jalanan untuk mengisi masa kerana tidak bekerja.

"Saya tinggal bersama ibu bapa yang mempunyai pendapatan 400 euro seorang dan kami bertiga berkongsinya dengan seorang lagi adik lelaki untuk terus hidup.

"Tiada masa hadapan untuk saya. Saya mahu tinggalkan bandar ini dan hidup berdikari dengan anak saya," katanya.

Pada 20 November, pilihan raya memilih Perdana Menteri baru akan diadakan untuk menangani krisis ekonomi yang semakin meruncing itu.

Satu tinjauan dilakukan akhabr El Pais menunjukkan pengundi di negara ini akan menyokong parti konservatif, Popular Party untuk menang.

"Di Paterna, kami percaya Socialist Party akan menang sekali lagi," kata Caravaca.

"Namun dengan jumlah pengangguran yang tinggi dan masyarakat yang semakin terdesak kerana kegawatan ekonomi, mereka mungkin mahukan satu perubahan."

Apabila ditanya tentang pilihan raya, Miguel Almagro mengangkat bahunya dan kelihatan merajuk.

"Kami tidak berminat tentang perkara itu. Saya tidak akan mengundi sesiapa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain