suria

Pilihan Raya Parlimen Ahad Ini Indikasi Sama Ada Putin Akan Diterima Semula Sebagai Presiden Rusia Tahun Depan

MOSCOW: Vladimir Putin dan Dmitry Medvedev, yang secara berdua atau bersama memimpin Rusia dalam situasi yang sangat unik selama lebih empat tahun akan menyaksikan bagaimanakah rakyat memberi ‘kelulusan’ kepada kepimpinan mereka apabila selesainya pilihan raya parlimen Ahad ini.

Sistem politik baru Rusia sebagaimana Amerika menyaksikan pemilihan anggota dewan dan presiden dilakukan secara berasingan.

Persefahaman pembahagian kuasa di antara Putin dan Medvedev menyaksikan Medvedev mengambil alih kuasa presiden dari tangan Putin pada tahun 2008 dan Putin dilantik oleh Medvedev sebagai perdana menteri.

Di Rusia, presiden adalah ketua negara yang memegang kuasa penuh ke atas urusan diplomatik dan ketenteraan manakala perdana menteri diberi tanggungjawab mengurus pentadbiran harian kerajaan dan kabinet.

Tetapi seluruh dunia apatah lagi Rusia memahami dan sedia maklum bahawa siapakah di antara mereka yang selama ini digelar Batman dan Robin yang lebih berkuasa.

Ini terbukti benar apabila Medvedev secara rasmi mencalonkan Putin untuk mewakili Parti Rusia Bersatu bertanding jawatan presiden (sekali lagi) pada tahun depan.

Untuk rekod, perlembagaan Rusia pasca komunisma tidak membenarkan seseorang itu memegang jawatan presiden melebihi dua penggal berturut-turut (perkhidmatan sepenggal adalah untuk selama empat tahun) dan Putih ketika menyerahkan jawatannya kepada Medvedev pada tahun 2008 telahpun berkhidmat sebagai presiden selama dua penggal.

Namun begitu, perlembagaan Rusia membenarkan bekas presiden bertanding semula selepas itu.

Jika Putin berjaya menyandang semula jawatan paling berkuasa dan berpengaruh di dunia selepas jawatan presiden Amerika, beliau ternyata akan mencatat sejarah yang tersendiri iaitu menjadi rakyat Rusia yang pertama dipilih secara demokratik lebih dari sekali.

Belum pernah ada pemimpin Rusia yang dipilih secara demokratik sedemikian rupa dan belum pernah ada lagi pemimpin Rusia yang walaupun tidak menyandang jawatan presiden tetapi bertindak dan berfungsi sepertimana ketua negara.

Kini kedua-dua Putin dan anak didiknya Medvedev sekali lagi berganding bahu bersama mengelilingi Rusia berkempen untuk calon-calon parti mereka dalam pemilihan Parlimen yang dipanggil ‘Duma’ di Rusia.

Mereka berkempen menggunakan slogan; “Bersama Kita Akan Menang”.

"Vladimir Vladimirovich Putin adalah pemimpin moden Rusia yang paling popular, berpengalaman dan berjaya sebagai seorang ahli politik,” kata Medvedev dalam salah satu ucapannya memberi sebab mengapa beliau membuka laluan sekali lagi kepada Putin untuk kembali sebagai presiden.

Kedua-dua Putin dan Medvedev memiliki ciri-ciri yang serupa ketika mereka mula-mula diketengahkan sebagai calon presiden oleh parti dan pemimpin sebelum itu - iaitu calon yang tidak dijangka dan diketahui ramai.

Ketika Presiden Rusia pasca komunis yang pertama Boris Yeltsin mula-mula memperkenalkan Putin sebagai pengantinya, Rusia tidak mengenali siapakah Putin melainkan resumenya hanya tertulis bekas agen dan pengarah kanan KGB iaitu agensi perisikan rahsia era Soviet dan pentadbir bandar kedua terbesar di Rusia iaitu St Petersburg.

Jadi Putin pada mulanya mengambil alih kerusi presiden dari Boris Yeltsin pada tahun baru 1999 atas kehendak Yeltsin yang secara tiba-tiba bersara kerana masalah kesihatan.

Walaupun Putin, 59, dilihat masih memperlihatkan sikap dan gaya pemerintahan ala-Soviet malah pernah berkata kejatuhan empayar Soviet adalah malapetaka geopolitik paling besar di abad ke-20, tetapi beliau telah memilih seseorang yang lebih liberal dan terbuka kepada pembaharuan sebagai pengantinya pada 2008.

Sebenarnya tindakannya itu adalah satu langkah yang bijak dan penuh strategik kerana ini memberi peluang kepadanya untuk berehat sementara menyerah kuasa kepada seseorang yang dilihat boleh diterima oleh kuasa barat dan Amerika sebagai kawan sebelum beliau kembali berkuasa semula tahun depan.

Namun begitu, bayangan sama ada Putin masih diterima sebagai pemimpin Rusia sekali lagi akan dapat disaksikan melalui pilihan raya Duma lusa.

Artikel Lain