suria

Australia Mula Ambil Pelarian Asing Dari Malaysia

MELBOURNE: Australia mula mengambil pelarian asing dari Malaysia, terutama yang berasal dari Myanmar berdasarkan persetujuan yang dicapai kedua-dua negara, kata Pesuruhjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur Miles Kupa.

Melalui persetujuan yang dicapai tahun lepas, Australia akan menghantar 8,000 pencari suaka dari Christmas Island ke Malaysia untuk diproses permohonan mereka bagi mendapatkan taraf pelarian.

Sebagai timbal balas, Australia akan mengambil 4,000 orang yang disahkan sebagai pelarian oleh Pesuruhjaya Tinggi Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian dalam tempoh empat tahun.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Australia menghalang pergerakan pencari suaka ke Malaysia dan sejak itu tiada kemajuan dicapai mengenainya, terutama berikutan keengganan pembangkang Australia bekerjasama dengan kerajaan.

Namun demikian, Australia tetap komited terhadap persetujuan yang telah dicapai itu dan menerima pelarian yang terkandas di Malaysia.

"Kami dalam proses menunaikan komitmen untuk mengambil 4,000 pelarian tahun ini dan mereka yang datang ke Australia," kata Kupa kepada ABC Radio.

Beliau berkata antara 500 dan 600 pelarian sudah tiba di Australia.

Kumpulan pelarian Myanmar yang dikenali sebagai Chin mempunyai "prospek untuk menjadi imigran yang baik dan anggota komuniti kami yang bertanggungjawab," katanya.

Beliau berkata Menteri Luar baru Australia Senator Bob Carr tetap komited terhadap rancangan pertukaran pencari suaka antara kedua-dua negara.

Katanya pihak berkuasa Malaysia, khususnya Menteri Dalam Negeri, yang memainkan peranan penting dalam rundingan berhubung perkara itu juga komited terhadap persetujuan yang dicapai dengan Australia.

"Saya juga ingin menyatakan bahawa Malaysia dan Australia bekerjasama rapat untuk membanteras penyeludupan manusia, menahan penyangak yang terlibat dalam perbuatan yang sungguh keji ini. Kerjasama ini akan terus erat," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain