suria

Banduan Melarikan Diri Selepas Gempa Bumi Di Aceh

JAKARTA: Kira-kira 32 banduan Penjara Sigli di daerah Pidie, Aceh dilapor masih hilang selepas pihak berkuasa membenarkan 221 banduannya mengosongkan penjara berikutan dua gempa bumi kuat Rabu lepas.

Pegawai-pegawai penjara mengarahkan banduan dipindahkan ke kawasan lebih tinggi apabila pihak berkuasa mengeluarkan amaran tsunami berikutan gempa bumi sekuat 8.5 pada skala Richter yang melanda Acheh pada pukul 3.28 petang, Rabu.

Para pegawai bimbang penjara itu, yang terletak hanya beberapa meter dari kawasan pantai, akan menjadi antara yang pertama dilanda tsunami, lapor akhbar harian berbahasa Inggeris Jakarta Globe, Jumaat.

Bagaimanapun apabila amaran tsunami ditarik balik beberapa jam selepas gempa bumi itu, pihak berkuasa penjara tidak menemui kira-kira 63 banduan.

"Atas dasar kemanusiaan kami membenarkan banduan mengosongkan penjara," kata warden penjara Sigli, Djoko Budi Setianto, yang dipetik Jakarta Globe.

Djoko berkata 13 daripada banduan kembali ke penjara secara sukarela pada lewat petang Rabu dan 18 lagi ditahan semula pada keesokan pagi. Masih terdapat 32 banduan yang hilang dan polis kini memburu mereka.

"Kami telah mendapat identiti dan alamat rumah mereka," kata Dumadi ketua polis daerah Pidie.

Pakar berkata kemungkinan berlaku tsunami akibat gempa bumi pada Rabu itu adalah kurang berbanding pada tahun 2004 kerana ia disebabkan geseran mendatar antara dua plat tektonik bawah laut, dan bukannya geseran menegak seperti gempa bumi pada tahun 2004.

Sekurang-kurangnya lima orang mati akibat serangan jantung ketika keadaan panik berikutan gempa bumi di Aceh Rabu lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain