suria

Australia Akan Wujudkan Taman Marin Terbesar Di Dunia

SYDNEY: Australia pada Khamis mengumumkan rancangan untuk mewujudkan rangkaian taman laut yang terbesar di dunia untuk melindungi hidupan laut, dengan mengehadkan kawasan memancing dan cari gali minyak serta gas di luar pesisir pantai.

Rizab baru itu akan meliputi 3.1 juta kilometer persegi (1.9 juta batu persegi), atau lebih daripada satu pertiga daripada perairan Australia, yang terdiri daripada kawasan pembiakan yang penting.

Pengumuman itu dibuat selepas beberapa tahun perancangan dan perundingan dibuat, menjelang sidang kemuncak Rio 20 terhadap pembangunan lestari minggu depan di Brazil, yang akan dihadiri Menteri Alam Sekitar Tony Burke dan Perdana Menteri, Julia Gillard.

"Ia adalah masa untuk dunia memberi perlindungan terhadap lautan kita," kata Burke.

"Dan Australia hari ini mengetuai langkah seterusnya.

"Rangkaian baru rizab laut ini yang akan membantu memastikan persekitaran marin dan hidupan yang pelbagai di Australia disokong, kekal sihat, produktif dan berdaya tahan untuk generasi akan datang."

Rangkaian ini akan meningkatkan bilangan rizab dari 27 ke 60, meluaskan perlindungan hidupan seperti paus biru, penyu hijau, populasi jerung dan dugong yang semakin terancam.

Manakala beberapa had kawasan akan diletakkan terhadap syarikat-syarikat tenaga, kawasan pantai di luar Barat Australia, yang permitnya baru dimenangi Shell dan Woodside Petroleum baru-baru ini, masih terbuka untuk penerokaan minyak dan gas.

Artikel Lain