suria

Umar Patek Dihukum Penjara 20 Tahun Atas Kesalahan Jenayah Keganasan

JAKARTA: Umar Patek, seorang anggota Jemaah Islamiyah yang didakwa terbabit dalam kejadian serangan bom di Bali pada tahun 2002, dijatuhkan hukuman 20 tahun penjara oleh Mahkamah Daerah Jakarta Barat, Khamis malam kerana terlibat dalam beberapa jenayah keganasan.

Majlis hakim yang diketuai Encep Yuliardi berkata lelaki berumur 46 tahun yang mempunyai banyak nama lain itu, terbukti tanpa keraguan melakukan jenayah keganasan.

Umar Patek antara lain didapati terbukti bersalah menyembunyikan maklumat tentang terorisme, terlibat dalam pengeboman sejumlah gereja di Indonesia pada tahun 2000 dan serangan bom di Bali yang meragut nyawa 192 orang pada tahun 2002.

Hukuman itu lebih ringan daripada tuntutan pasukan pendakwa raya yang sebelum ini meminta mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup ke atasnya.

Umar Patek, juga dikenali dengan beberapa nama lain antaranya Abu Syekh, Arsalan, Abdul Karim, Umar Kecil, Umar Arab, Umar Syekh, Zacky dan Anis Alawi Jafar.

Dalam pembelaannya sebelum ini Umar Patek membantah penglibatan beliau sebagai perancang tindakan keganasan serta penglibatannya dalam ujian senjata di Banten dan latihan ketenteraan di Aceh, sebagaimana yang didakwa ke atasnya.

Umar Patek juga semasa pembelaannya itu meminta maaf kepada semua pihak yang menjadi mangsa perbuatan keganasan melibatkan dirinya serta keluarga mereka, juga kepada penganut Kristian serta masyarakat dan kerajaan Indonesia.

Umar Patek merupakan seorang anggota Jamaah Islamiyah yang paling dicari oleh kerajaan Amerika Syarikat, Filipina, dan Indonesia. Amerika bahkan telah menawarkan hadiah AS$1 juta kepada sesiapa yang berjaya menangkapnya.

Beliau ditangkap oleh pasukan keselamatan Pakistan di Abottabad pada 25 Jan, 2011 dan hantar pulang ke Indonesia pada 11 Ogos 2011. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain