suria

Warga Australia Kerugian Jutaan Dolar Kerana Penipuan Luar Negara

MELBOURNE: Lebih 2,600 warga Australia menjadi mangsa kepada penipuan luar negara, terutamanya dari Asia dan telah kerugian lebih A$113 juta dalam tempoh dari 2007 hingga April tahun ini, demikian menurut satu laporan oleh Suruhanjaya Jenayah Australia (ACC) dan Institut Kriminologi Australia.

Laporan itu berkata A$113 juta dianggap sebagai satu angka yang konservatif kerana ramai orang berasa malu untuk melaporkannya.

Besarnya skala penipuan itu telah mendorong satu kempen baharu diadakan, yang memberi peringatan kepada isi rumah agar tidak mempercayai sebarang panggilan telefon yang menawarkan peluang pelaburan, walaupun sekiranya firma yang membuat panggilan itu memberikan nama laman web dan artikel untuk menyokong dakwaan mereka.

ketua Eksekutif ACC, John Lawler, berkata penipuan ini semakin meningkat pada kadar yang mencemaskan.

"Ini adalah organisasi canggih yang disokong oleh wang berjuta-juta dolar," katanya pada pelancaran laporan itu di sini Isnin.

Lawler berkata sebahagian besar kumpulan itu berpangkalan di Asia, tetapi melebarkan rangkaian kewangan mereka ke Eropah, Caribbean dan tempat-tempat lain.

ACC dan Australia Post akan menghantar surat kepada setiap isi rumah Australia dalam dua bulan akan datang untuk mengingatkan mereka tentang penipuan pelaburan itu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain