suria

Kebanyakan Jenis Beras Miliki Indeks Glycaemic Rendah Hingga Sederhana - Kajian

MELBOURNE: Kebanyakan jenis beras memiliki indeks "glycaemic" (GI) rendah hingga sederhana.

Penyelidik Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Industri Komanwel (CSIRO) dan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) juga mengenal pasti gen yang bertanggungjawab terhadap GI padi yang akan membolehkan penanam membangunkan jenis padi yang mempunyai paras GI rendah untuk memenuhi kehendak pengguna.

GI menyukat keupayaan karbohidrat untuk menaikkan paras darah selepas dimakan. Makanan yang tinggi GI lebih mudah diserap oleh badan, yang boleh menyebabkan darah turun naik yang boleh menyebabkan peluang untuk mendapat diabetis lebih tinggi.

Makanan rendah GI diserap pada kadar yang lebih perlahan, menyebabkan pelepasan gula dalam darah secara berperingkat-peringkat.

Analisis ke atas lebih 200 jenis beras di seluruh dunia oleh CISIRO dan IRRI mendapati GI beras berkisar daripada 48 hingga 92, dengan purata 64.

Makanan rendah GI mempunyai paras 55 dan kurang, GI sederhana antara 56 dan 69 manakala GI tinggi ialah 70 dan ke atas.

Melissa Fitzgerald dari IRRI memberitahu Associated Press Australia, padi yang banyak ditanam di India, Swarna, rendah GI manakala jenis Australia seperti Doongara dan Basmati memiliki GI sederhana.

Penyelidik CSIRO Food Futures Flagship Dr Tony Bird berkata hasil kajian itu membolehkan orang ramai membuat pilihan bermaklumat mengenai jenis beras yang mereka makan.

Mereka yang mahukan diet rendah GI boleh menukar beras tinggi GI kepada beras rendah GI, katanya.

Ia akan membolehkan penanam memajukan pelbagai jenis beras rendah GI dan membantu mereka yang menghidap diabetis, katanya.

"Ini berita baik untuk pesakit diabetis dan mereka yang berisiko menghidap penyakit itu bagi mengawal diet mereka, dengan memilih beras yang tepat bagi menjaga kesihatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain