suria

Titanic II Akan Seiras Dengan Titanic Asal Tapi Dilengkapi Ciri Keselamatan

Kapal Titanic II dilengkapi dengan ciri keselamatan. -Foto Gambarku.com.
 Kapal Titanic II dilengkapi dengan ciri keselamatan. -Foto Gambarku.com.
Kapal Titanic II dilengkapi dengan ciri keselamatan. -Foto Gambarku.com.

SYDNEY: Jutawan Australia Clive Palmer yang mengumumkan rancangannya untuk membina kapal penumpang terbesar dunia Titanic II menegaskan bahawa beliau tidak akan berkompromi dengan ciri-ciri keselamatan.

Kata Palmer, Titanic era moden yang bakal dibina di China akan mengekalkan ciri-ciri Titanic asal iaitu dek kelas mewah, sederhana dan kelas ketiga tetapi akan ditambah dengan dek keselamatan.

Palmer juga berkata, Titanic II akan dibina dengan sembilan dek sama sepertimana Titanic asal.

Katanya, dek keselamatan yang akan dibina nanti akan menempatkan bot-bot keselamatan dan hampir dengan gigi air agar ia memudahkan kerja-kerja menyelamat jika berlaku malapetaka.

Menurut Palmer, melainkan penempatan dek keselamatan berhampiran dengan paras air, lain-lain ciri seperti kawasan legar awamu, tangga penumpang, kabin dan lain-lain akan dibina sama dengan apa yang terdapat di dalam Titanic.

Titanic karam pada 15 April 1912 dalam perjalanan sulungnya dari Belfast ke New York empat jam selepas terlanggar bongkah ais mengorbankan lebih 1,500 penumpang.

Kata Palmer, pelayaran sulung Titanic II telah ditetapkan pada penghujung 2016 - dari China ke England sebelum melakukan pelayaran komersil yang pertama ke Amerika Utara.

Palmer juga menambah, Titanic II akan turut dilengkapi dengan kasino tetapi satu peraturan yang ketat akan dikenakan tentang siapakah yang dibenarkan berjudi di kasino itu nanti.

"Hanya mereka yang disahkan mampu sahaja akan dibenarkan masuk ke kasino tersebut," kata Palmer sekaligus memberi indikasi ia bukanlah tempat untuk penumpang-penumpang kelas sederhana dan biasa untuk berlepak.

Projek Titanic II ini akan diusahakan oleh syarikat perkapalan milik Palmer iaitu Blue Star Line dan akan dibina oleh firma China, CSC Jinling Shipyard.

Kapal gergasi itu yang akan dibina menurut skala Titanic asal berukuran 270 meter panjang dan seberat 65,000 tan.

Artikel Berikut

17 Cedera Disambar Petir

Artikel Lain