suria

Tiga Firma Dianugerah Kontrak Oleh Nasa Untuk Bina Kapal Angkasa Baru

WASHINGTON: Tiga buah firma aero angkasa telah memenangi kontrak bernilai AS$1.1 bilion daripada Agensi Angkasa Lepas Amerika (Nasa) untuk bersaing bagi membina generasi baru kapal angkasa yang akan membawa angkasawan ke Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS) di orbit.

Kontrak itu telah dianugerahkan kepada SpaceX (AS$440 juta), Boeing (AS$460 juta) dan Sierra Nevada Corporation (AS$212.5 juta).

Mereka perlu mengemukakan pelan dan bentuk kapal angkasa baru untuk tempoh lima tahun dari sekarang.

Pembinaan generasi baru kapal angkasa ini ditawarkan sebagai penganti kepada kapal angkasa ulang-alik (space shuttle) yang perkhidmatannya telah pun ditamatkan tahun lalu.

Ini menjadikan Rusia sebagai satu-satunya negara yang masih menawarkan program penghantaran angkasawan ke ISS melalui kapal angkasa Soyuz.

Namun Soyuz memiliki kekurangannya kerana kapsul itu hanya mampu memuatkan tiga orang angkasawan sahaja pada satu-satu masa.

Di antara ketiga-tiga firma itu, SpaceX mendahului di hadapan dengan kejayaannya menghantar sebuah kapal angkasa kargo yang dinamakan 'Dragon' ke ISS awal tahun ini.

SpaceX merancang untuk mengubahsuai kapal angkasa tersebut bagi membolehkannya membawa tujuh orang angkasawan ke ISS pada tahun 2015.

Artikel Lain