suria

36 Mati Lemas Dalam Kemalangan Feri Di HK

HONG KONG: Agensi berita Reuters melaporkan sekurang-kurangnya 36 orang mati lemas apabila dua buah feri bertembung dan karam pada malam Isnin di sini.

Salah sebuah feri itu membawa tidak kurang dari 120 orang penumpang yang merupakan kakitangan sebuah syarikat.

Kejadian yang berlaku di Selatan wilayah autonomi ini berlaku pada malam Isnin.

Ia dianggap sebagai kemalangan maritim terburuk dalam sejarah Hong Kong.

Feri yang terlibat dalam kemalangan itu adalah milik Hong Kong Electric Company yang sedang dalam perjalanan membawa kakitangan dan hali keluarga mereka menyaksikan pertunjukkan bunga api sempena dengan sambutan ulang tahun hari kebangsaan Republik Rakyat China serta festival musim luruh.

Para penumpang yang terselamat berkata, insiden tersebut berlaku dengan begitu pantas sehinggakan mereka tidak sempat hendak memakai jaket keselamatan sebelum feri dilimpahi air dan karam.

"Dalam tempoh 10 minit sahaja feri kami terus tenggelam dan kami hanya berjaya diselamatkan lebih kurang 20 minit kemudian," kata seorang penumpang lelaki yang terselamat sebagaimana yang dipetik sebagai berkata oleh Reuters.

Sebuah lagi feri adalah milik Hong Kong and Kowloon Ferry Holdings, berjaya dibawa ke pelabuhan Pulau Lamma, iaitu sebuah pulau peranginan yang popular di kalangan pelancong asing serta ekspatriat.

Tragedi terbaru ini adalah yang terburuk di Hong Kong sejak 1996 apabila 40 orang mati dalam kebarakan di sebuah bangunan komersil.

Sementara itu Pengarah Hong Kong Electric, Yuen Sui-see berkata, feri mereka telah berlepas meninggalkan Pulau Lamma pada jam 8.15 malam untuk membawa kakitangan mereka menyaksikan pertunjukkan bunga api tetapi kemudian tiba-tiba mereka telah dilanggar oleh sebuah feri lain.

Sementara itu, Ketua Eksekutif Pentadbiran Hong Kong, Leung Chun-ying telah melawat mangsa-mangsa dan berjanji akan melancarkan siasatan menyeluruh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain