Quazi Mohammad Ahsanullah memegang gambar anaknya yang ditangkap atas pertuduhan cuba meletupkan sebuah bank di New York.DHAKA: Bapa kepada seorang lelaki Bangladesh yang dituduh cuba meletupkan Bank Rizab Persekutuan New York pada Khamis menafikan pembabitan anaknya dan berkata dia adalah mangsa "konspirasi perkauman."Quazi Mohammad Rezwanul Ahsan Nafis, 21, telah ditangkap pada Rabu di New York dan menghadapi pertuduhan cuba menggunakan senjata pemusnah besar-besaran dan cuba menyediakan sokongan material kepada al-Qaeda. "Ini hanyalah satu konspirasi. Masih terdapat konspirasi perkauman di sana," bapanya Quazi Mohammad Ahsanullah, memberitahu pemberita di Dhaka, Bangladesh."Ini adalah 'permainan' perisikan Amerika Syarikat terhadap anak-anak yang kita hantar belajar di peringkat lebih tinggi. Dakwaan terhadap anak saya adalah tidak benar sama sekali. Dia tidak boleh memandu kereta. Bagaimana dia ditangkap dalam sebuah van?"Nafis muncul di mahkamah Brooklyn pada Rabu.Aduan jenayah terhadapnya berkata dia telah memasuki Amerika Syarikat pada bulan Januari dan dikatakan telah mengadakan hubungan dengan anggota al-Qaeda di luar negara.Aduan itu berkata dia telah membuat perjalanan dengan van dengan seorang lelaki ke sebuah gudang di New York di mana Nafis memasang bom seberat 1,000 paun (450 kg).Lelaki yang dipercayai menjadi rakan jenayah sebenarnya seorang ejen FBI yang menyamar dan bahan letupan tidak berfungsi. Dia kemudian telah ditangkap di sebuah hotel berhampiran bank.Nafis merupakan pelajar jurusan perniagaan di North South University, sebuah institusi swasta berprestij di Bangladesh, sebelum melanjutkan pengajian dalam bidang sains komputer di Amerika Syarikat.