SINGAPURA: Pasaran bagi baki tahun 2012 kekal tidak menentu dengan harga minyak menjadi agak tidak berkait dengan asas pasaran, kata Unjuran Suku Ke-4 Minyak dan Gas Global Ernst & Young.Ernst & Young (E&Y) berkata dengan kelembapan ekonomi global, ia menjangka ini akan membantutkan pertumbuhan permintaan minyak pada jangka pendek. Bagaimanapun, harga minyak sedikit kukuh pada suku ketiga dan ini akan menjadi asas kepada pelaburan oleh syarikat minyak dan gas meskipun keadaan ekonomi masih tidak menentu, katanya.E&Y berkata baki tunai yang sihat di kalangan syarikat bermodal tinggi dan keperluan untuk menggantikan rizab akan meningkatkan aktiviti pelaburan pada suku keempat hingga memasuki 2013.Ia juga berkata ketibaan musim sejuk di Hemisfera Utara juga akan memberikan peningkatan bermusim kepada permintaan minyak dan gas.Laporan itu berkata kebimbangan mengenai keadaan ekonomi global menghalang harga minyak mencecah ketinggian yang dicapai pada suku pertama tahun ini."China dijangka mewakili hampir satu pertiga peningkatan permintaan minyak dunia pada 2013 seperti yang diunjurkan oleh Agensi Tenaga Antarabangsa," katanya.Sementara itu, ketua minyak dan gas global E&Y, Dale Nijoka, berkata berikutan keadaan ekonomi global yang lesu, permintaan sepanjang baki 2012 ini dilihat terus lemah. - BERNAMA