BOSTON: Tiga orang kini disahkan terkorban akibat dua letupan yang berlaku berhampiran garisan penamat Maraton Antarabangsa Boston di Massachusetts, awal pagi ini.Menurut polis Boston, mangsa yang terkorban termasuklah seorang budak lelaki berumur lapan tahun. Pihak hospital pula berkata, sekurang-kurangnya 144 orang cedera dalam insiden letupan itu dengan 17 daripada mereka berada dalam keadaan yang kritikal.Pihak berkuasa tempatan masih kebingungan letupan itu angkara siapa sekaligus mencetuskan spekulasi Amerika Syarikat telah diserang untuk kali kedua selepas insiden 11 September 2001.Presiden Barack Obama dalam satu kenyataan segera yang disiarkan secara langsung menerusi kaca televisyen dengan pantas meminta semua pihak jangan membuat sebarang kesimpulan bahawa ini adalah serangan pengganas sehinggalah pihak berkuasa mengumpul segala maklumat terperinci."Kita masih tidak mengetahui letupan ini angkara siapa dan kenapa...oleh yang demikian orang ramai tidak harus membuat sebarang andaian sehingga laporan dan fakta sahih diperolehi,"tegasnya.Beliau kemudiannya menambah; "Namun begitu, kita akan siasatan sehingga kita ketahui ia adalah angkara siapa dan mengapa ia dilakukan."Dua letupan kuat itu berlaku berhampiran garisan penamat maraton sejurus selepas pemenangnya berjaya menamatkan perlumbaan yang disertai oleh lebih 27,000 orang itu.Klip video yang dirakamkan oleh perakam amatur memperlihatkan letupan itu berlaku di sebelah kiri laluan peserta perlumbaan yang menempatkan orang ramai berdiri menyaksikan maraton itu.